Home Luar Negara KOREA UTARA LANCAR 2 LAGI PELURU BERPANDU BALISTIK

KOREA UTARA LANCAR 2 LAGI PELURU BERPANDU BALISTIK

155
0

SEOUL: Korea Utara hari ini melancarkan dua lagi peluru berpandu balistik, dalam siri ujian senjata terbaharu oleh Pyongyang yang semakin menjejaskan hubungan dengan Seoul.

Perkara itu disahkan Ketua Turus Bersama Tentera Korea Selatan, yang menyatakan pelancaran pertama peluru berpandu balistik jarak dekat dilakukan pada awal pagi tadi.

Kira-kira 10 minit kemudian, peluru berpandu kedua menyusul, yang masih belum dikenal pasti jenisnya, turut dikesan.

“Tentera kami sudah memperkukuh pengawasan dan kewaspadaan sebagai persediaan untuk pelancaran selanjutnya,” katanya, sambil menambah ia turut berkongsi maklumat pelancaran itu dengan Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.

Agensi rasmi Korea Utara, Berita Pusat Korea (KCNA) belum memberi pengesahan segera mengenai pelancaran itu.

Minggu lalu, Korea Utara mendakwa berjaya menguji beberapa peluru berpandu dengan kepala peledak.

Hubungan antara kedua-dua Korea berada pada tahap terendah sejak beberapa tahun, dengan Korea Utara meningkatkan ujian senjata dan menghantar belon sampah ke Korea Selatan.

Pyongyang berkata peluru berpandu itu adalah sebagai tindakan balas terhadap belon yang dimuatkan dengan risalah propaganda anti-rejim yang dihantar ke utara oleh aktivis di Korea Selatan.

Sebagai tindak balas kepada pelancaran berulang oleh Korea Utara, Korea Selatan menggantung sepenuhnya perjanjian bagi mengurangkan ketegangan.

Ia turut menyambung semula siaran pembesar suara propaganda dan latihan tembakan berhampiran sempadan.

Korea Selatan juga bimbang mengenai penambahbaikan hubungan Korea Utara dengan Russia.

Korea Utara dituduh melanggar langkah kawalan senjata dengan membekalkan senjata kepada Russia yang digunakan dalam peperangannya di Ukraine.

Presiden Russia, Vladimir Putin, mengadakan sidang kemuncak dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Pyongyang pada Jun lalu bagi menunjukkan perpaduan.

Semalam, Pyongyang mengutuk latihan ketenteraan bersama oleh Korea Selatan, Jepun dan AS, dengan menuduh mereka cuba mewujudkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) versi Asia.

Latihan ‘Freedom Edge’ yang diperkatakan itu diadakan selama tiga hari termasuk persediaan peluru berpandu balistik dan pertahanan udara, peperangan anti-kapal selam serta latihan pertahanan siber.

Pyongyang sentiasa mengecam latihan gabungan yang dilihat sebagai pencerobohan, tetapi Seoul berkata itu adalah kesinambungan latihan pertahanan yang diadakan secara kerap selama bertahun-tahun. – AFP, BH, Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here