Home Buletin Semasa KONVOI KE THAILAND BERTUKAR TRAGEDI, PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT DI KUALA KRAI

KONVOI KE THAILAND BERTUKAR TRAGEDI, PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT DI KUALA KRAI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA KRAI: Hasrat seorang lelaki menyertai konvoi motosikal dari Temerloh, Pahang ke Betong, Thailand berakhir tragedi apabila maut selepas terbabit kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Stong, Jalan Gua Musang-Dabong, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kemalangan itu kira-kira jam 1.45 tengah hari.

Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah treler yang membawa dua jentera traktor, sebuah kereta dan motosikal ditunggang mangsa.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa sedang berkonvoi bersama rakan-rakannya dari Temerloh, Pahang menuju ke Betong, Thailand.

“Pada masa sama, treler berkenaan dalam perjalanan dari Pasir Puteh menghala ke Gua Musang, manakala kereta dipandu lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun dari Kedah menuju Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mazlan berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal ketika melalui jalan selekoh sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Katanya, motosikal mangsa kemudian melanggar bahagian kanan hadapan treler sebelum mangsa tercampak ke bahu jalan.

“Motosikal mangsa terus bergerak memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah kereta yang sedang bergerak.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai untuk proses bedah siasat.

Mazlan berkata, pemandu treler dan kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal motosikal ketika melalui selekoh sehingga terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Polis menasihatkan semua penunggang motosikal supaya lebih berhati-hati ketika menunggang, terutama ketika menyertai konvoi.

“Sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan memastikan tahap keselamatan serta kawalan motosikal berada pada tahap terbaik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik IPD Kuala Krai atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurhasmira Tajol di talian 09-9666222.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here