Home Buletin Semasa ‘BERCAKAP’ DENGAN KUDA KETIKA PASANG LADAM

‘BERCAKAP’ DENGAN KUDA KETIKA PASANG LADAM

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

PEKAN: Tugas memasang ladam atau kasut kuda tidak sesukar mana, tetapi jika angin kuda kurang baik, nyawa pemasang ladam boleh terancam sekiranya haiwan berkenaan tersentak lalu kaki belakangnya menendang mengenai dada pemasang ladam.

Dipijak dan digigit kuda yang secara tiba-tiba naik minyak antara dugaan ditempuh Mohd Shah Mohd Nor, 55, sepanjang lebih 30 tahun menjalankan tugas sebagai pemasang ladam kuda polo.

Mohd Shah berkata, perangai setiap kuda berbeza dan ia perlu difahami sebelum tugas memasang ladam dilakukan, terdapat jenis kuda jinak dan ada yang liar serta agresif walaupun sudah lama bersama penjaga dalam kurungan.

Katanya, ladam yang diperbuat daripada besi berkualiti tinggi perlu ditukar setiap bulan bagi mengelak sendi kaki kuda berdepan kecederaan serius seterusnya menyebabkan haiwan itu tidak dapat berjalan sempurna sehingga perlu berehat panjang.

“Tugas tukang pasang ladam kuda polo memerlukan minat, keberanian dan kemahiran serta pengalaman menjadi pelengkap kepada kebolehan menjalankan tugas itu yang tidak ramai mampu melakukannya.

“Proses menukar ladam atau kasut kuda bermula dengan mencabut ladam lama yang rosak dan nipis selepas digunakan selama sebulan. Ladam perlu ditukar secara serentak kaki depan dan belakang (empat unit).

“Selepas itu kuku kuda perlu dibersihkan, dikikis dan diratakan menggunakan peralatan khas bagi memudahkan ladam dipasang selain mengelak kecederaan ketika berjalan.

“Enam paku digunakan untuk melekatkan ladam pada kuku.

“Kedudukan ladam pada kuku kuda perlu tepat bagi mengelak kecederaan ketika berjalan dan beraksi ditengah padang,” katanya yang menetap di Kampung Padang Polo di sini.

Katanya, sebelum ini ladam kuda dihasilkan secara tradisional menggunakan besi melalui proses membakar dan membentuk lingkaran pelbagai saiz namun kini ladam diterima siap dengan saiz 3, 4, 5 dan 6 mengikut saiz kaki kuda.

Mohd Shah yang bertugas dengan Kelab Polo Diraja Pahang berkata, hampir setiap hari dia menukar ladam antara empat hingga lima kuda bergantung jenis kuda dan keperluan semasa.

Katanya, dia menimba ilmu menukar ladam atau kasut kuda dengan tiga individu.

Pertama, dengan rakan setugas, Rahim Makbar atau panggilan Cu Wan yang kini sudah bersara dan dua jurulatih profesional dari Argentina serta Australia yang dibawa khas ke Kelab Polo Diraja Pahang.

“Ketika menukar ladam saya bercakap dengan kuda bagi menenangkannya yang bila-bila masa boleh bersikap agresif. Masa diambil antara 45 minit hingga sejam bagi menyiapkan seekor kuda.

“Saya pernah digigit kuda di bahu dan belakang ketika menukar ladam. Kuda yang agresif biasanya memiliki kebolehan tinggi ketika beraksi di tengah padang.

“Bertugas sebagai tukang pasang ladam kuda memberi peluang saya mengikuti rombongan Kelab Polo Diraja Pahang menyertai kejohanan polo di Thailand dan Singapura,” kata datuk kepada dua cucu yang berasal dari Johor itu.

Katanya, minat paling utama perlu ada untuk berjaya sebagai tukang ladam kuda, pengalaman dapat memudahkan lagi tugas berkenaan yang menggunakan beberapa peralatan khas.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here