Home Buletin Semasa PENGUSAHA LADANG KELAPA SAWIT KERUGIAN RM290,988 ANGKARA PELABURAN KRIPTO

PENGUSAHA LADANG KELAPA SAWIT KERUGIAN RM290,988 ANGKARA PELABURAN KRIPTO

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Seorang pengusaha ladang kelapa sawit menanggung kerugian sebanyak RM290,988 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan mata wang kripto palsu.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata berdasarkan laporan diterima pihaknya semalam, lelaki berusia 51 tahun itu terpedaya selepas merima mesej nombor telefon tidak dikenali melalui WhatsApp yang menawarkan peluang menyertai pelaburan mata wang kripto pada 3 November lalu.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp sebelum ditawarkan menyertai urus niaga pelaburan terbabit. Pada peringkat awal, mangsa membuat transaksi berjumlah RM452 dan kemudiannya menerima pulangan segera sebanyak RM583 yang dimasukkan terus ke dalam akaun bank milik mangsa.

“Hasil pulangan awal yang diterima dipercayai meningkatkan lagi keyakinan mangsa terhadap pelaburan itu sehingga mendorong mangsa melakukan transaksi wang secara berperingkat kepada tiga akaun bank penerima membabitkan akaun individu dan akaun syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa seterusnya diarah membuat beberapa pembayaran atas alasan upah perkhidmatan sebanyak 30 peratus serta cukai pendapatan sebanyak 20 peratus untuk membolehkan keuntungan pelaburan dikeluarkan.

Azry Akmar berkata, mangsa turut dimaklumkan terdapat kesilapan rujukan transaksi dan diminta membuat pembayaran semula dalam jumlah yang sama.

“Sepanjang tempoh 3 hingga 8 November lalu, mangsa melakukan sebanyak 12 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM290,988.

“Mangsa mula curiga dan mengesyaki dirinya ditipu apabila terus diminta membuat pembayaran tambahan dalam jumlah yang besar sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Azry Akmar menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat, khususnya melalui kumpulan WhatsApp, Telegram atau media sosial, sebaliknya membuat semakan melalui portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM).

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here