Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas kira-kira 90 kilogram (kg) ganja mampat dan 100 gram bunga ganja bernilai keseluruhan RM280,000 selepas membongkar kegiatan pengedaran dadah menggunakan sebuah kedai telekomunikasi sebagai hab pengumpulan bungkusan untuk dihantar keluar dari negeri ini.
Rampasan itu dilakukan menerusi operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan dengan kerjasama pasukan narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah pada Ahad lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, operasi kira-kira jam 3.30 petang itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Menurutnya, suspek dikesan selepas polis menjalankan risikan lebih sebulan bagi mengenal pasti pergerakan dan kegiatan pengedaran dadah kumpulan terbabit.

Katanya, suspek yang memandu kereta Honda Civic FD cuba melarikan diri ketika dikesan pasukan polis sebelum kenderaan dipandunya terbabas di Kampung Batu 10, Tanah Merah, sekali gus membolehkan lelaki itu ditahan.
“Pemeriksaan awal di dalam kereta menemukan 14 biji pil yaba. Hasil soal siasat dan pemeriksaan telefon bimbit suspek, polis mengesan dia baru menghantar dadah ke sebuah kedai telekomunikasi di bandar Tanah Merah.
“Dadah berkenaan masih berada di kedai itu dan belum dihantar keluar ketika polis melakukan pemeriksaan,” katanya pada sidang media, di sini.
Beliau berkata, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan 12 bungkusan mengandungi ketulan ganja mampat seberat kira-kira 90kg serta satu lagi kotak mengandungi 100 gram bunga ganja kering.
Menurutnya, nilai pasaran ganja mampat dianggarkan RM271,000, manakala bunga ganja bernilai kira-kira RM8,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan hampir RM280,000.
“Rampasan dadah itu juga dipercayai mampu menjejaskan bekalan kepada kira-kira 90,500 pengguna,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, siasatan mendapati kedai berkenaan berfungsi sebagai hab pengumpulan bungkusan sebelum diambil syarikat perkhidmatan kurier untuk dihantar mengikut alamat penerima.
Katanya, polis turut mengesan kira-kira 13 alamat destinasi penghantaran berdasarkan maklumat yang diperoleh dalam siasatan.
“Polis kini mengesan tiga lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan terbabit dan dipercayai melarikan diri ke negara jiran.
“Modus operandi ini dipercayai digunakan kumpulan berkenaan sejak Ogos tahun lalu,” katanya.
Tambahnya, suspek mempunyai lima rekod lampau berkaitan jenayah dadah dan turut didapati positif dadah menerusi ujian saringan air kencing.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dengan suspek direman selama tujuh hari bermula 9 November (semalam) bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusoff berkata, pihaknya sebelum ini mengadakan pertemuan dengan pengusaha syarikat kurier di Kelantan termasuk Pos Malaysia bagi memberi penerangan mengenai modus operandi penyeludupan dadah melalui penghantaran bungkusan.
Katanya, kerjasama pengusaha kurier amat penting bagi membantu polis mengesan kegiatan pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan penghantaran.
IMedikel TV






