Home Buletin Semasa JUARA MUAY THAI ALIFF RAKIB HADIAHKAN BANGLO RM1 JUTA BUAT IBU BAPA

JUARA MUAY THAI ALIFF RAKIB HADIAHKAN BANGLO RM1 JUTA BUAT IBU BAPA

Oleh: Afrizam Arif @I Medikel TV

KOTA BHARU: Bagi jaguh Muay Thai dunia Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, 22, kejayaan terbesar bukan sekadar membawa pulang tali pinggang juara dunia, sebaliknya mampu menghadiahkan sebuah rumah banglo bernilai RM1 juta buat ibu bapanya sebagai tanda membalas jasa dan pengorbanan mereka.

Aliff berkata, rumah yang dibelinya hasil simpanan daripada kerjaya profesional dalam sukan Muay Thai itu terletak di Rantau Panjang dan kini sudah siap untuk didiami ibu bapanya, Rakib Ahmad, 52, dan Suriawati Che Wook, 46.

Menurutnya, pembelian rumah itu merupakan antara impiannya sejak mula membina kerjaya sebagai atlet profesional kerana mahu melihat kedua-dua ibu bapanya menikmati hasil daripada kejayaan yang dicapainya.

“Hasrat saya adalah untuk buat mereka bangga. Alhamdulillah, saya sudah dapat bawa mereka pergi umrah dan sekarang dapat pula beli rumah untuk mereka.

“Rumah ini dibeli menggunakan wang simpanannya sendiri daripada kerjaya sebagai atlet Muay Thai, sekali gus menjadi simbol bahawa setiap kejayaan diraih tidak pernah dilupakan daripada siapa yang sentiasa berada di belakang perjuangannya,” katanya selepas Majlis Sambutan Wira Kelantan di sini, hari ini, semalam.

Kejayaan itu hadir selepas Aliff melakar sejarah pada Julai lepas sebagai rakyat Malaysia pertama bergelar juara dunia dalam ONE Championship apabila menumbangkan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao menerusi knockout (KO) pada pusingan kelima di Stadium Lumpinee, Bangkok.

Kemenangan berkenaan membolehkan anak Kelantan itu merangkul tali pinggang Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai, selepas melalui perjalanan panjang termasuk menjalani latihan dan membina karier profesional di Bangkok serta memperoleh kontrak bernilai AS$100,000.

Aliff turut berkongsi bahawa fasa baharu dalam hidupnya bakal bermula apabila beliau merancang mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat dengan wanita dari Thailand, selain terus memberikan tumpuan kepada kariernya dalam gelanggang.

Dalam pada itu, Aliff merakamkan penghargaan kepada penaja dan penganjur sambutan, Fara Sharina Zamari, 38, yang dikenali sebagai JL Fara, atas sokongan dalam memperkenalkan pencapaiannya kepada masyarakat sehingga kejayaan membawa pulang gelaran dunia itu mendapat perhatian lebih meluas.

Mengenai sasaran seterusnya, Aliff mahu membuktikan dirinya sebagai juara sebenar dengan membawa pulang satu lagi tali pinggang, termasuk berdepan juara dunia mutlak strawweight Muay Thai, Prajanchai PK Saenchai, dalam aksi penyatuan gelaran.

“Insya-Allah kita boleh bawa balik tali pinggang itu satu lagi. Kalau ada rezeki, saya berharap pertarungan seterusnya dapat diadakan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Fara Sharina berkata kejayaan Aliff wajar diraikan kerana anak muda itu bukan sahaja mengharumkan nama Kelantan, malah membawa nama Malaysia ke pentas dunia, justeru sokongan masyarakat perlu diberikan secara berterusan bagi membantu beliau melakar lebih banyak kejayaan.

Turut menaja, Pengasas Vavavom, Farhana Zahra dan Pengasas Pink & Belle, Noriey Bahar.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here