Home Buletin Semasa HPUSM CATAT SEJARAH, HOSPITAL PERTAMA MALAYSIA LAKSANA TNE GUNA GASTROSKOPI

HPUSM CATAT SEJARAH, HOSPITAL PERTAMA MALAYSIA LAKSANA TNE GUNA GASTROSKOPI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) melakar sejarah baharu dalam bidang perubatan apabila menjadi hospital pertama di Malaysia melaksanakan prosedur Transnasal Esophagoscopy (TNE) menggunakan gastroskopi dalam perkhidmatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher (ORL-HNS).

Prosedur berkenaan dilaksanakan pada 4 Ogos lalu di Klinik ORL-HNS HPUSM menggunakan sistem pengimejan Evis Exera III; Ultra-Slim Gastrointestinal Videoscope GIF-XP190N daripada Olympus.

Pakar ORL-HNS HPUSM, Dr Nik Fariza Husna Nik Hassan, berkata TNE adalah kaedah pemeriksaan esofagus melalui rongga hidung menggunakan endoskop fleksibel tanpa memerlukan bius sedatif atau bius am.

“Kaedah berkenaan membolehkan pemeriksaan dilakukan dengan lebih cepat, selamat dan kurang invasif, sekali gus meningkatkan keselesaan pesakit, khususnya mereka yang mengalami masalah gangguan menelan atau dysphagia serta pelbagai masalah saluran aerodigestif atas.

“Kelebihan utama prosedur ini ialah pesakit tidak perlu menjalani bius sedatif atau bius am. Pemeriksaan boleh dilakukan melalui hidung menggunakan endoskop fleksibel dengan anestesia setempat.

“Ini membolehkan penilaian dilakukan dengan lebih cepat dan kurang invasif, selain memberikan keselesaan yang lebih baik kepada pesakit,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan TNE di HPUSM juga diperkukuh pengalaman lebih sedekad mengendalikan Klinik Gabungan Dysphagia yang menghimpunkan kepakaran pelbagai disiplin.

Katanya, klinik berkenaan melibatkan pakar Gastroenterologi, ORL-HNS, Patologi Pertuturan-Bahasa, Dietetik dan Radiologi bagi memastikan pesakit menerima penilaian serta rawatan secara menyeluruh.

“Pengalaman lebih sedekad dalam mengendalikan Klinik Gabungan Dysphagia memberikan asas yang kukuh kepada kami untuk memperkenalkan prosedur ini.

“Kerjasama antara pelbagai disiplin amat penting kerana masalah menelan memerlukan penilaian daripada beberapa aspek sebelum rawatan terbaik dapat ditentukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kepentingan penggunaan TNE turut diiktiraf di peringkat nasional apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Malaysian Health Technology Assessment Section (MaHTAS) menerbitkan Health Technology Assessment Report: Transnasal Oesophagoscopy pada 2011.

Dr Nik Fariza Husna berkata laporan berkenaan merumuskan bahawa TNE adalah prosedur yang selamat dan berkesan serta sesuai dilakukan di klinik menggunakan anestesia topikal, selain berpotensi mengurangkan kos berbanding oesofagoskopi konvensional bagi kes tertentu.

“Lebih sedekad selepas laporan itu diterbitkan, HPUSM kini tampil sebagai hospital pertama di Malaysia melaksanakan TNE menggunakan gastroskopi dalam perkhidmatan ORL-HNS.

“Pencapaian itu mencerminkan kesiapsiagaan USM dari aspek kepakaran klinikal, pengalaman multidisiplin serta komitmen dalam menerajui inovasi perkhidmatan perubatan yang memberi manfaat secara langsung kepada pesakit.

“Pengenalan prosedur berkenaan turut mengukuhkan kedudukan USM sebagai pusat rujukan dan kecemerlangan perubatan yang terus meneroka pendekatan inovatif dalam perkhidmatan klinikal, latihan kepakaran dan penyelidikan, selaras dengan usaha meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan negara,”katanya.

Kejayaan pelaksanaan prosedur berkenaan turut didorong kepakaran Dr Nik Fariza Husna yang menjalani latihan subkepakaran laringologi termasuk latihan TNE selama setahun di University College London (UCL), United Kingdom, di bawah bimbingan Profesor Martin Birchall, tokoh terkemuka dunia dalam bidang laringologi dan gangguan penelanan kompleks.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here