Home Hiburan BELLA DOWANNA LINDUNG SI DIA ELAK KENA KEBAS

BELLA DOWANNA LINDUNG SI DIA ELAK KENA KEBAS

KUALA LUMPUR: Tidak keterlaluan andai dikatakan aktres Bella Dowanna cukup jarang, malah, hampir tidak pernah dikaitkan dengan gosip cinta sejak mula bertatih dalam industri seni.

Memetik laporan Berita Harian, biarpun memilih untuk tidak terlalu berkongsi kisah peribadi, pelakon berusia 23 tahun itu mengakui tidak pernah menutup pintu hati jika dipertemukan dengan insan yang tepat untuk menjadi teman hidupnya.

Bagi Bella, soal jodoh tidak perlu dipaksa. Sebaliknya, seseorang yang ingin mendekatinya perlu mempunyai adab, menghormati batas dan bijak membina komunikasi.

Bella atau nama sebenar, Qystinna Istajibilla Dowanna Halim ini memberitahu, usaha yang ikhlas dan berbeza daripada kebiasaan lebih mudah menarik perhatian, berbanding sekadar ungkapan manis.

“Sebenarnya ada pelbagai cara orang cuba dekati dan kenali saya. Tetapi, apa yang membuatkan saya tertarik adalah usaha yang ditunjukkan itu berbeza daripada orang lain.

“Cara paling cepat untuk mengambil hati saya ialah mempunyai komunikasi yang baik. Boleh ajak keluar makan, tetapi biarlah dimulakan dengan mesej yang sopan.

“Saya juga tidak kisah jika wanita mahu memulakan langkah pertama, tetapi biarlah berpada-pada,” katanya kepada BH Online.

Mengulas status hubungannya, Bella memilih untuk terus berahsia kerana tidak mahu terlalu terbuka berkongsi kisah cinta sehingga mengundang perkara yang tidak diingini.

Pelakon yang memulakan kerjaya seni sejak kanak-kanak itu turut berpesan supaya wanita tidak sesekali menjadi orang ketiga dalam sesebuah hubungan.

“Mengenai status hubungan terkini, saya tiada komen. Saya tidak mahu terlalu menunjukkannya kerana nanti orang pula cuba ‘kebas’.

“Penyondol ada di mana-mana sekarang. Kena hati-hati, kadang-kadang musuh dalam selimut. Nasihat saya, jangan jadi penyondol,” katanya.

Bella turut menitipkan pesanan supaya wanita tidak terus terperangkap dalam hubungan tanpa status atau ‘situationship’ yang hanya mengundang kekecewaan.

Berkongsi pandangan mengenai fenomena ‘situationship’ yang semakin menjadi kebiasaan dalam kalangan anak muda, Bella mengakui hubungan sedemikian hanya memberi kesan buruk terhadap emosi.

“Saya memang tidak suka ‘situationship’. Saya mewakili semua wanita untuk kata tidak kepada hubungan seperti itu. Saya sendiri melihat ramai kawan yang terluka disebabkan perkara ini.

“Kalau awak tahu hubungan itu tidak membawa ke mana-mana, kenapa perlu terus bertahan? Keluar sahaja daripada situasi itu. Kita kena berani bersuara dan mempunyai pendirian.

“Jika tidak mampu bersuara, lebih baik hilangkan diri sahaja. Kita tidak rugi apa-apa. Kadang-kadang wanita sukar melepaskan kerana terlalu penyayang dan sudah bergantung dari segi emosi, tetapi kita perlu tegas terhadap diri sendiri,” katanya.

Bella berkata, sifat wanita yang mudah menyayangi seseorang sering menjadi faktor mereka sukar menamatkan hubungan yang tidak sihat.

Justeru, katanya, setiap wanita perlu mempunyai prinsip dan ketegasan dalam menjaga hati serta maruah diri.

“Wanita lebih bersifat emosional. Mereka mudah bergantung kepada seseorang daripada segi emosi. Apabila sudah bergantung kepada seseorang selama beberapa bulan, memang sukar untuk melepaskan.

“Tetapi kita sendiri kena tegas dan mempunyai pendirian. Kalau dari awal tidak mahu terjebak dengan cinta lokasi, jangan mulakan. Cinta lokasi tidak akan berlaku jika kita benar-benar tegas dengan pendirian sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bella berkata, fokusnya kini terbahagi kepada dua bidang, iaitu lakonan dan pengurusan acara menerusi syarikat miliknya.

“Buat masa ini, saya fokus bahagikan masa kepada dua perkara, iaitu lakonan dan kerjaya sebagai penganjur konsert. Selain konsert, saya juga anjurkan pelbagai acara lain,” katanya.

Bella turut merancang mencabar diri dengan membawakan lebih banyak watak berat kerana selama ini lebih dikenali menerusi naskhah romantik komedi.

“Sekarang, dalam aspek pemilihan naskhah, selepas membintangi dua drama romantik komedi, saya fikir sudah tiba masanya untuk memperlahankan watak-watak sebegitu dan beralih kepada naskhah lebih berat.

“Sudah lama juga saya tidak membawakan cerita berat. Rasanya yang terakhir adalah filem M4M4 pada 2020.

“Selepas ini, saya hendak cuba genre seperti itu supaya orang nampak saya mampu membawa watak berat dan pada masa sama, boleh bawa naskhah romantik komedi,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here