Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Sebanyak 200 magnet Jalur Gemilang dipasang pada kenderaan pengguna terawal di 15 stesen PETRONAS terpilih seluruh negara menerusi Program Ekspresi Jalur Gemilang JaPen@PETRONAS 2026, hari ini.
Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan, Ahmad Ammar Othman berkata, program yang berlangsung serentak pada jam 10.30 pagi itu menjadi manifestasi semangat kebangsaan yang semakin membara sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2026.
Beliau berkata, pemasangan magnet Jalur Gemilang pada kenderaan bukan sahaja menyemarakkan suasana sambutan kemerdekaan, malah menjadi medium mudah untuk masyarakat menzahirkan rasa bangga dan cinta terhadap negara.
“Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan, identiti dan maruah negara. Apabila kita mengibarkannya, kita membawa bersama kisah perjuangan, perpaduan pelbagai kaum serta cita-cita tinggi sebuah bangsa yang merdeka.
“Justeru, usaha mengibarkan Jalur Gemilang perlu menjadi amalan bersama, bukan hanya ketika sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya ketika berucap pada Program Ekspresi Jalur Gemilang JaPen@PETRONAS 2026 di stesen PETRONAS Chetok, di sini, hari ini.

Ahmad Ammar berkata, pemilihan stesen PETRONAS sebagai lokasi program merupakan pendekatan strategik kerana ia menjadi antara pusat tumpuan harian masyarakat, khususnya pengguna jalan raya.
Menurutnya, kerjasama awam-korporat antara JaPen dan PETRONAS itu membuktikan komitmen bersama dalam menyebarkan mesej patriotisme kepada masyarakat secara lebih meluas.
“PETRONAS bukan sahaja mercu tanda kejayaan ekonomi negara, malah sentiasa menyokong agenda kemasyarakatan dan kebangsaan.
“Menerusi kerjasama ini, stesen PETRONAS dijadikan platform untuk menyebarkan gelombang patriotisme secara terus kepada pengguna jalan raya,” katanya.
Katanya selain pemasangan magnet Jalur Gemilang, program berkenaan turut menyaksikan penyerahan Jalur Gemilang kepada agensi kerajaan Persekutuan dan negeri sebagai simbolik menggalakkan penjawat awam menjadi teladan dalam menjayakan kempen Kibar Jalur Gemilang.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata program itu turut menyaksikan pelepasan Kembara Merdeka Jalur Gemilang X JAGO yang akan bergerak merentasi kawasan desa dan bandar bermula dari Jajahan Tumpat sebelum berakhir di Jajahan Kota Bharu pada Jumaat ini.
Ahmad Ammar berkata, kembara berkenaan membawa mesej perpaduan, kebersamaan dan kedaulatan negara kepada masyarakat di sepanjang laluan.
Katanya, sambutan Bulan Kebangsaan bukan sekadar mengimbau sejarah perjuangan kemerdekaan, sebaliknya perlu dijadikan ruang untuk memperkukuh iltizam bersama dalam membina masa depan negara.

“Dalam kerangka Malaysia MADANI, nilai keharmonian, kebersamaan dan perpaduan nasional perlu terus menjadi teras dalam kehidupan masyarakat.
“Kehadiran kepimpinan daerah, ketua-ketua jabatan serta Komuniti MADANI pada hari ini membuktikan semangat perpaduan dan kecintaan terhadap tanah air terus subur di peringkat akar umbi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga di kediaman, premis perniagaan, sekolah, pejabat dan kenderaan masing-masing.
“Marilah kita bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga sebagai tanda kecintaan kepada negara dan penghargaan terhadap perjuangan generasi terdahulu,” katanya.
IMedikel TV






