Home Buletin Semasa “HIDUP RAKYAT ADA PASANG SURUT, DASAR KEBAJIKAN PERLU JADI PELINDUNG” – STEVEN...

“HIDUP RAKYAT ADA PASANG SURUT, DASAR KEBAJIKAN PERLU JADI PELINDUNG” – STEVEN SIM

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Kehidupan rakyat yang melalui pelbagai keadaan dan cabaran memerlukan dasar kebajikan yang kukuh bagi memastikan mereka terus mendapat sokongan ketika berdepan kesusahan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Steven Sim Chee
Keong, berkata usaha kebajikan juga penting dalam memupuk masyarakat yang penuh kasih sayang, selain mempertahankan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama.

Beliau berkata, kemajuan serta kemakmuran sesebuah negeri perlu bergerak seiring dengan usaha menjaga kebajikan rakyat kerana tidak semua individu mempunyai latar kehidupan dan kemampuan yang sama.

“Ada yang hidup ini naik, ada yang turun. Jadi ketika rakyat Pulau Pinang menghadapi kesusahan, kesukaran atau musibah dalam kehidupan, perlu ada dasar-dasar kebajikan untuk mendukung dan menjaga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tautan Kasih One Hope Charity yang dirasmikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth di sini hari ini.

Dalam majlis berkenaan, One Hope Charity mengagihkan 10,000 beg makanan kepada golongan yang memerlukan dengan nilai keseluruhan bantuan berjumlah RM3.5 juta.

Steven Sim berkata, One Hope Charity adalah antara contoh badan bukan kerajaan (NGO) yang memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat menerusi jaringan perniagaan serta penyumbang yang prihatin.

Menurutnya, usaha kebajikan yang dilaksanakan pertubuhan itu tidak membezakan penerima berdasarkan kaum, agama mahupun fahaman politik.

“Mereka tidak pernah memilih bulu dan tidak pernah bertanya seseorang itu daripada kaum atau parti politik mana.

“Asalkan orang Pulau Pinang yang mempunyai masalah dan menghadapi kesukaran, One Hope Charity akan bersama-sama membantu mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, pertubuhan itu menyalurkan lebih RM100 juta sepanjang 2021 hingga 2025 bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan, menyokong hospital kerajaan, menyumbangkan peralatan perubatan serta melaksanakan pelbagai program kebajikan.

“Setiap keluarga yang menerima bantuan menerusi program hari ini memperoleh sumbangan bernilai kira-kira RM320, merangkumi barangan keperluan asas dan harian serta bantuan tunai RM200.

“Bantuan tunai itu boleh digunakan penerima mengikut keperluan masing-masing, terutama bagi meringankan beban perbelanjaan harian.

“Bersempena ulang tahun ke-25 pertubuhan ini tahun depan, pelbagai inisiatif kebajikan turut dirancang termasuk memperluas Program Bantuan Perubatan dan Program Tautan Kasih, menaik taraf peralatan serta kemudahan hospital kerajaan dan memperkukuh program kesihatan komuniti,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here