Ipoh, PERAK: Seorang peserta kursus asas Pasukan Gerakan Am (PGA) Siri 1/2023 di Pusat Latihan PGA (PLPGA) Ulu Kinta, di sini, meninggal dunia semalam dipercayai akibat strok haba.
Anggota terbabit, Konstabel Muhamad Irfan Irham Badrul Hisam, 21, dari Cawangan Kompeni Demo Pusat Latihan PGA dikatakan baharu beberapa hari melapor diri sebagai peserta kursus sejak Ahad lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ini mengesahkan kematian konstabel Muhamad Irfan, namun memaklumkan punca sebenar hanya dapat dikethaui selepas bedah siasat yang dijalankan pagi ini di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.
Sementara itu, Komandan PLPGA Ulu Kinta, Superintendan Mohammad Hafiz Kadir, ketika dihubungi berkata berdasarkan maklumat rakan si mati, pelatih itu pada mulanya mengadu mengalami kekejangan kaki kiri sejak malam kelmarin.
Bagaimanapun, katanya, sewaktu mengikuti kelas petang semalam pelatih itu tiba-tiba rebah dan diserang sawan serta dalam keadaan meracau.
“Anggota perubatan memberi bantuan awal dan segera membawanya ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan untuk rawatan lanjut.
“Ketika di klinik, doktor bertugas beberapa kali melakukan bantuan pernafasan (CPR), namun pelatih itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5 petang.
“Berdasarkan laporan awal doktor di klinik kesihatan berkenaan, punca kematian pelatih itu adalah dipercayai akibat strok haba,” katanya
Sumber: BH Online
Imedikel TV






