LONDON: Keputusan Afrika Selatan mengetepikan pemain Burnley, Lyle Foster daripada skuad mereka ke Piala Negara-Negara Afrika ‘wajar’ ketika penyerang itu belum bersedia kerana masalah kesihatan mental, kata pengurus kelab Vincent Kompany.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Foster pada awalnya disenaraikan dalam skuad awal Afrika Selatan bagi kejohanan itu sekalipun Burnley memaklumkan kepada mereka dia tidak bersedia.
Dia akhirnya diketepikan daripada skuad terakhir kelmarin. Piala Negara-Negara Afrika bermula di Ivory Coast pada 13 Januari ini.
“Ia satu keputusan wajar daripada FA Afrika Selatan, dari segi menyokong pendapat pakar,” kata Kompany kepada wartawan.
“Kami tidak boleh menurunkan Lyle selama sebulan atau lebih kerana kami cuba memberikan perhatian kepadanya dan sebahagian daripada pemulihannya adalah berada dalam persekitaran yang kecil.
“Menaiki kapal terbang atau perkara seumpamanya, pakar yang menasihati kami dalam tempoh ini tidak fikir Lyle sudah bersedia.”
Foster diketepikan pada November lalu kerana masalah kesihatan mental yang berulang sebelum kembali bulan ini beraksi untuk Burnley dalam perlawanan liga menentang Everton, Fulham dan Liverpool.
Pengurus Afrika Selatan, Hugo Broos dan Kompany sudah berbincang mengenai masalah kesihatan mental pemain itu bersama staf perubatan sebelum membuat keputusan untuk mengetepikannya daripada skuad.
“Secara kolektif kami melakukan sesuatu yang baik buat Afrika Selatan, sebelum kami menurunkannya semula sebagai pemain,” jelas Kompany.
“Kami mengambil berat dan menjaganya. Dia akan bersedia untuk beraksi bersama negaranya sekali lagi suatu ketika nanti.” – REUTERS-BH ONLINE-
Imedikel TV






