Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kes kematian seorang doktor pelatih wanita di sebuah bilik di asrama Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai pada 6 Mac lalu tiada kaitan dengan kes gangguan seksual yang juga membabitkan doktor pelatih lelaki di hospital sama.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kedua-dua insiden membabitkan individu berbeza meskipun berlaku di Lokasi sama.
”Kes gangguan seksual itu tiada kaitan dengan kes kematian doktor pelatih, ia hanya berlaku di hospital yang sama sahaja.
”Kita tidak mahu timbul sebarang spekulasi kerana setakat kes kematian doktor pelatih itu masih dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis peluncuran Op Selamat 26/2026 peringkat kontinjen Kelantan di Tunjong, di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan seorang doktor pelatih wanita berusia 29 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah bilik di asrama HSIP pada jam 9.55 pagi.
Pihak polis juga sudah merakam keterangan lebih 10 individu bagi membantu siasatan kes tersebut.
Dalam perkembangan berasingan, seorang doktor pelatih didakwa di Mahkamah Majistret, Kuala Krai pada 11 Februari lalu, atas dua pertuduhan iaitu gangguan seksual terhadap seorang wanita dan memiliki gambar lucah dengan tujuan mengaibkan kehormatan dengan merakam seorang wanita yang sedang mandi tanpa pengetahuannya menggunakan sebuah kamera berwarna hitam miliknya di bilik mandi, Aras 2, HSIP, pada jam 6.30 pagi, 13 September tahun lalu.
IMedikel TV






