Home Buletin Semasa KELANTAN CATAT LEBIH 60,000 PENGGUNA VSP

KELANTAN CATAT LEBIH 60,000 PENGGUNA VSP

215
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV


KOTA BHARU: Tahap kesedaran masyarakat di Kelantan terhadap penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) menunjukkan peningkatan apabila merekodkan lebih 60,000 pengguna setakat ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, Kelantan kini mencatatkan jumlah penggunaan tertinggi aplikasi itu berbanding negeri lain di seluruh negara.

“VSP adalah aplikasi yang perlu dimuat turun oleh masyarakat dalam telefon bimbit, sekiranya mereka meninggalkan rumah, khususnya perantau yang pulang ke kampung ketika musim perayaan, mereka boleh membuat permohonan melalui VSP supaya polis menjalankan rondaan di kawasan kediaman tanpa perlu membuat panggilan kecemasan.

“Langkah ini secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap keselamatan malah, sekiranya berlaku kes pecah rumah, pengguna boleh menekan ‘panic button’ dan polis peronda akan segera ke lokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Op Selamat 26/2026 Peringkat Kontinjen Kelantan sempena Hari Raya Aidilfitri di Tunjong, hari ini.

Menurut beliau, kadar pendaftaran VSP sebelum ini agak rendah iaitu kurang 10,000 pengguna, namun pelbagai kempen dilaksanakan bagi menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi berkenaan.

“Saya melihat peningkatan yang sangat positif pada tahun ini hasil usaha berterusan pihak polis dalam mempromosikan penggunaan VSP,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Op Selamat 26 akan dilaksanakan bermula esok hingga 24 Mac ini bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya serta memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang musim perayaan.

Katanya, seramai 170 anggota trafik akan ditugaskan bagi memantau 42 lokasi ‘hotspot’ dan 67 lokasi ‘blackspot’, khususnya di laluan kritikal termasuk Kota Bharu, Kuala Krai, Pasir Mas, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah dan Gua Musang.

“Kita juga menubuhkan Skuad Jem dan Op Lancar bagi memastikan aliran trafik sentiasa terkawal bermula hari ini hingga 29 Mac.

“Selain itu, Bilik Gerakan Subtek Op Selamat akan beroperasi 24 jam untuk memantau serta mengumpulkan data di 109 lokasi strategik,” katanya.

Beliau berkata, terdapat enam kesalahan utama yang diberi tumpuan dalam penguatkuasaan termasuk memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Berdasarkan statistik Op Selamat, jumlah kemalangan menunjukkan penurunan daripada 534 kes pada 2024 kepada 495 kes pada 2025, manakala kes kemalangan maut turut menurun daripada tujuh kes kepada satu kes pada tahun lalu.

Sehubungan itu, Mohd Yusoff menasihatkan orang ramai khususnya perantau agar sentiasa memandu secara berhemah, bersabar di jalan raya serta mengelakkan tindakan berbahaya seperti memotong di garisan berkembar.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here