Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa peka dan mengambil langkah proaktif dalam menangani peningkatan kes penyakit berjangkit seperti demam denggi, leptospirosis (kencing tikus) dan penyakit berjangkit lain melalui tindakan bersepadu bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi-agensi berkaitan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata bagaimanapun statistik penyakit leptospiros dan demam denggi menunjukkan penurunan yang ketara.
“Penyakit berjangkit ini berkait rapat dengan kebersihan. Untuk makluman kedua-dua penyakit iaitu denggi dan leptospirosis berlaku penurunan yang mendadak di Kelantan.
“Untuk leptospirosis sehingga minggu epidemiologi (ME) 45 tahun 2025 sebanyak173 kes leptospirosis yang dilaporkan di seluruh negeri Kelantan. Jumlah ini menunjukkan penurunan mendadak sebanyak 52.5 peratus berbanding tempoh sama tahun 2024 yang merekodkan sebanyak 360 kes.
“Manakala untuk statistik semasa penyakit denggi di Kelantan sehingga 4 Oktober tahun ini juga menunjukkan penurunan yang ketara. Sejumlah 1,192 kes demam denggi dilaporkan, iaitu penurunan sebanyak 52.51 peratus berbanding 2,510 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2024. Bagi tahun ini juga, tiada kes kematian akibat denggi dilaporkan, berbanding terdapat dua kes kematian pada tahun lalu,”katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr. Hafidzah Mustakim (Pakatan Harapan – Kota Lama) berkenaan langkah proaktif yang telah dan akan diambil oleh kerajaan negeri dalam menangani peningkatan kes demam denggi, leptospirosis, dan penyakit berjangkit di negeri ini, di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Beliau berkata JKNK melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melaksanakan pemantauan untuk penyakit dan wabak leptospiros.
“Pemantauan dilaksanakan di pusat-pusat rekreasi dijalankan secara berkala dan maklum balas akan disalurkan kepada PBT dan pemilik premis bagi tindakan penambahbaikan.
“Selain itu JKNK dan PKD juga meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi peningkatan risiko jangkitan semasa dan selepas banjir khususnya yang membabitkan petugas, sukarelawan dan mangsa banjir yang berisiko terdedah kepada air dan persekitaran tercemar.
“Langkah pencegahan termasuk pemberian antibiotik profilaksis dan rawatan awal (pre-emtive treatment) kepada individu yang bergejala yang mempunyai sejarah pendedahan kepada banjir.
“Biasanya leptospiros banyak berlaku semasa banjir insyaAllah terdapat langkah-langkah untuk mengelakkan mangsa banjir atau petugas dan sukarelawan daripada mendapat jangkitan leptospiros,”katanya.
Manakala bagi demam denggi pula, beliau berkata strategi utama dalam menangani penyakit tersebut adalah melalui pendekatan ‘source reduction’, iaitu memastikan kebersihan persekitaran penduduk yang bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa bekerjasama dengan JKNK dalam usaha pencegahan pembiakan nyamuk Aedes ini.
“Antara langkah dan aktiviti proaktif yang sudah dan akan dilaksanakan termasuklah Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Bil. 1 Tahun 2025 peringkat negeri Kelantan pada 20 Jun lalu di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian yang turut disertakan dengan Pelancaran Projek Pelepasan Nyamuk Aedes Berwolbachia di Bandar Baru Kubang Kerian. Pada masa sekarang terdapat 3 lokaliti pelepasan nyamuk aedes berwolbachia di negeri Kelantan.
“Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Bil. 2 Tahun 2025 Peringkat Negeri Kelantan yang dirancang akan diadakan di Daerah Tanah Merah pada bulan November ini. Dengan pelaksanaan program gotong-royong ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung ancaman denggi dan kaedah mengatasinya.
“Pihak Berkuasa Tempatan (MPKB) turut melaksanakan tindakan penguatkuasaan bersepadu bersama anggota Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu bagi memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan tumpuan awam seperti Pasar Siti Khadijah.
“PBT juga bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan dalam melaksanakan aktiviti gotong-royong di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi wabak denggi di setiap daerah,”katanya
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuhkan kolaborasi dengan semua agensi berkaitan, termasuk pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat, bagi memastikan usaha pencegahan denggi dilaksanakan secara berterusan dan berkesan di seluruh negeri Kelantan.
IMedikel TV






