Home Buletin Semasa KANSER BUKAN PENGHALANG, PENSYARAH UMK TAMAT PHD SELEPAS 10 TAHUN BERJUANG

KANSER BUKAN PENGHALANG, PENSYARAH UMK TAMAT PHD SELEPAS 10 TAHUN BERJUANG

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Perjalanan hampir sedekad menyiapkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) bukan satu tugas mudah, apatah lagi apabila perlu berjuang melawan penyakit kanser payudara.

Bagi pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Fadhilahanim Aryani Abdullah, 45, segala keperitan yang ditempuh sepanjang tempoh itu menjadi sumber kekuatan untuk terus melangkah hingga berjaya menamatkan pengajian di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) universiti berkenaan.

Beliau yang diraikan pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 UMK (Sidang Pertama) semalam, tidak dapat menyembunyikan rasa terharu apabila akhirnya menggenggam ijazah yang diperjuangkan selama hampir 10 tahun.

Dr Fadhilahanim Aryani berkata, dia mula menyambung pengajian ke peringkat PhD pada 2015 dan sepatutnya tamat dalam tempoh tiga hingga lima tahun sahaja, namun beliau terpaksa menangguh pengajian hingga 10 tahun disebabkan perlu menjalani rawatan kanser.

“Saya disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga pada 2017 dan menjalani rawatan kemoterapi serta radioterapi. Namun pada 2023, kanser itu merebak ke tulang dan kini berada di tahap empat.

“Sepanjang tempoh itu, saya berjuang menyiapkan tesis sambil menjalani dua pembedahan utama, 22 kali kemoterapi dan 20 kali radioterapi. Walau sukar, saya tetap teruskan hingga PhD ini selesai,” katanya ketika ditemui di Dewan Tuanku Canselor UMK Bachok, di sini, pada Isnin.

“Pada 2017 saya didiagnos kanser tahap tiga kanser payudara dan seterusnya saya buat la kemoterapi radioterapi dan 2023 kanser tersebut merebak ke tulang jadi stage 4 jadi sepanjang perjalanan phd itu saya struggle antara buat tesis research dan sebagainya dan juga saya terpaksa menjalani rawatan.

“Yang mana saya menjalani dua rawatan dua pembedahan major, kemoterapi setakat ini dah 22 kali dan 20 kali radioterapi dan beberapa rawatan lain,” katanya. 

Beliau menyifatkan bahawa setiap cabaran dan keperitan yang dihadapi dalam kehidupannya itu adalah salah satu jalan untuk menuju ke syurga.

“Walau susah macam mana pun, teruskan genggam bara api sampai menjadi arang, jangan buat sesuatu perkara separuh jalan,” katanya.

“Saya tahu you struggle dengan whatever yang you hadapi walaupun orang tak nampak. Tapi you remember satu sahaja mungkin this is the way untuk kita ke syurga. So make sure whatever yang you lakukan pastikan yang apa ni buat sehingga  bara api sampai jadi arang.

“Jangan apa buat kerja tu separuh jalan sahaja lah,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, beliau masih menjalani rawatan susulan sambil meneruskan tugas sebagai pensyarah, berbekalkan sokongan daripada suami tercinta, Aidil Afizie Daud yang juga bekas Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Kelantan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here