Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@Imedikel TV
PUTRAJAYA: Kerajaan memperluaskan kelayakan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kepada kenderaan jenis jip dan pikap bagi sektor pengangkutan darat barangan bermula 1 Jun lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sebanyak 8,862 kenderaan jenis jip dan pikap didaftarkan di bawah SKDS dan SKPS dalam tempoh tiga hari pertama sehingga semalam.
“Selain berdaftar atas nama syarikat atau entiti perniagaan, syarat kelayakan turut mengambil kira kategori kegunaan yang direkodkan dalam Lesen Kenderaan Motor (LKM) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta status pendaftaran sebagai kenderaan perdagangan.
“Peluasan ini membabitkan kenderaan pikap dan jip di bawah kelas kegunaan Barang Rigid dan Barang Rigid Decon dengan berat antara 950 kilogram hingga 7,500 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, daripada jumlah pendaftaran yang direkodkan setakat 1 hingga 3 Jun, sebanyak 8,524 membabitkan pikap diesel, 329 jip diesel dan sembilan jip petrol.
“Bagaimanapun, kenderaan yang didaftarkan di bawah kategori kerajaan, pihak berkuasa tempatan, kategori khas lain serta Barangan-Tiada Permit/Off-Road tidak layak menyertai skim berkenaan,”katanya.
Dalam perkembangan sama, KPDN turut melaksanakan pelarasan had kuota tetap SKDS bagi sektor pengangkutan barangan bagi memperkukuh mekanisme kawal selia untuk mengekang ketirisan subsidi dan penyalahgunaan fleet card.
Armizan berkata, setiap fleet card kini diberikan kuota tetap antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan bergantung kepada jenis kenderaan yang layak di bawah SKDS.
“Ini tertakluk kepada had kuota yang ditetapkan bagi setiap 23 jenis kenderaan yang disenaraikan layak dalam SKDS.
“Penetapan kuota telah dibuat berdasarkan analisis data penggunaan sebenar yang direkodkan sepanjang hampir dua tahun pelaksanaan SKDS sejak tahun 2024,”katanya.
Beliau berkata sebagaimana yang diumumkan pada 23 Mei lalu, bagi Syarikat atau entiti perniagaan yang mempunyai keperluan operasi melebihi kuota yang ditetapkan, KPDN menyediakan mekanisme rayuan tambahan kuota melalui Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP).
“Permohonan rayuan perlu disertakan justifikasi keperluan operasi serta rekod penggunaan sebenar sekurang-kurangnya tiga bulan.
“Setakat 1 hingga 3 Jun, sebanyak lapan syarikat telah mengemukakan rayuan tambahan kuota membabitkan 82 kenderaan dan permohonan itu sedang diproses untuk pertimbangan JKSP,” katanya.
Beliau menegaskan KPDN akan terus menambah baik pelaksanaan SKDS dan SKPS bagi memastikan subsidi bahan api sampai kepada golongan yang layak serta mengurangkan ketirisan akibat penyelewengan dan penyeludupan.
IMedikel TV






