Home Buletin Semasa KERAJAAN KELANTAN, KADA USAHA TAMBAH BAIK STESEN PAM KEMUBU SECARA BERPERINGKAT

KERAJAAN KELANTAN, KADA USAHA TAMBAH BAIK STESEN PAM KEMUBU SECARA BERPERINGKAT

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengambil inisiatif melaksanakan dua komponen utama menyelesaikan isu bekalan air secara berperingkat ke kawasan sawah padi di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang bergantung kepada Sungai Kelantan sebagai sumber utama pengairan.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Negeri Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata dua projek itu melibatkan pembinaan Stesen Pam Kemubu 3 dan sistem pam boleh alih di Stesen Pam Kemubu serta Lemal.

“Kerja-kerja itu dijalankan oleh Kenanga Lestari Sdn Bhd, bermula pada tarikh memiliki tapak iaitu 1 Jun 2023 dan tarikh akhir siap pada 25 November tahun ini, melibatkan tempoh kontrak selama 104 minggu.

“Pencapaian projek itu selaras mengikut jadual iaitu 68 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Saizol Ismail (PAS–Salor) berhubung status terkini pembaikan Rumah Pam Kemubu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Namun beliau berkata ada beberapa isu teknikal di tapak yang menyebabkan kelewatan penyiapan projek berkenaan.

Jelasnya, isu terbabit ialah perubahan pam bagi laluan kabel, pemasangan trench dan FSI untuk column pump serta terdapat batu hampar keras di bahagian tebing sungai.

“Projek pam boleh alih di Stesen Pam Kemubu dan Lemal dikendalikan oleh Ari Usaha Murni Sdn Bhd bermula pada 21 Oktober tahun lalu dan dijadualkan siap pada 7 Ogos tahun ini melibatkan tempoh pelaksanaan selama sembilan bulan.

“Status semasa bagi projek itu ialah 49 peratus namun mengikut jadual sepatutnya ialah 99 peratus, ini kerana pengurusan kontraktor yang lemah selain aliran kewangan syarikat tidak memuaskan menyebabkan kelewatan selama 136 hari atau negatif 50 peratus,” katanya.

Menurutnya berikutan itu, perkara tersebut telah dibawa ke mesyuarat Contract Coordination Panel (CCP) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada 30 April lalu, dan kini dalam tindakan penamatan kontrak oleh pihak kementerian.

Tambahnya, Kerajaan Negeri melalui kerjasama erat bersama KADA dan KPKM terus memantau rapi kemajuan projek selain memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut jadual dan memberi manfaat kepada pesawah dan jaminan bekalan makanan negeri serta negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here