Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyeru lebih ramai generasi muda di negeri ini menceburi bidang penulisan dan berkarya sebagai penulis muda.
Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal berkata, penulis muda perlu dibimbing, diberi ruang serta dirangsang supaya berani menyuarakan gagasan dan nilai murni.

“Kita berharap agar lebih ramai penulis muda tampil menyertai dunia penulisan dan membawa suara generasi baharu yang berpaksikan nilai-nilai murni serta kemanusiaan sejagat.
“Saya juga ingin melihat lebih banyak karya dari negeri ini diangkat ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kelantan 2023/2024 di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini, pada Ahad.
Beliau turut berharap agar lebih banyak institusi, universiti, badan kebudayaan dan media memainkan peranan aktif dalam melahirkan penulis baharu yang berwibawa.
Katanya, peranan penulis kini semakin mencabar seiring perkembangan dunia moden dan digital.
“Penulis harus menjadi penyampai kebenaran, pemangkin perubahan dan penjaga nilai yang bukan sahaja mencatat peristiwa, tetapi turut mentafsirkan maknanya,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang Hadiah Sastera Kelantan yang disifatkan berpotensi menjadi inspirasi kepada warga penulis di negeri ini.
Hadir sama, Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy, dan Pengarah DBP Wilayah Timur, Ariza Che Ismail.
Sementara itu, Dr. Ahmad Fadhlil berkata, sebanyak 19 daripada 445 karya diiktiraf sebagai pemenang Hadiah Sastera Kelantan.
“Pengiktirafan ini diberikan kepada penulis yang menghasilkan karya tersohor dalam kategori Buku Perseorangan dan Karya Eceran meliputi genre novel, cerpen, puisi, esei kritikan atau kajian sastera, serta skrip drama pentas, radio dan televisyen.
“Skrip drama radio dan televisyen merupakan genre baharu yang diperkenalkan dalam hadiah ini,” katanya.
IMedikel TV






