Home Hiburan DAH MENANG FFM 34, SAYA SAMA SAHAJALAH – SYAZWAN ZULKIFLY

DAH MENANG FFM 34, SAYA SAMA SAHAJALAH – SYAZWAN ZULKIFLY

KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian Syazwan Zulkifly menjelaskan kemenangan pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-34 tidak mengubah pendirian atau caranya bekerja, sebaliknya, terus dengan prinsip sederhana dan profesional.

Syazwan, 38, tidak pernah terfikir untuk menaikkan bayaran, sebaliknya, menyerahkan sepenuhnya kepada pertimbangan syarikat produksi.

“Tidak ada… Tidak ada. Saya harap tidak akan ada perubahan daripada cara kerja saya. Saya masih orang sama.

“Kalau mereka fikir hendak tambah bayaran, mereka akan cakap sendiri dengan saya. Tetapi, kalau tidak, saya okay sahaja.

“Nasib baik saya menang anugerah sekarang. Kalau menang awal-awal dahulu. mungkin saya sudah ‘demand’ bayaran,” katanya ditemui pada majlis pelancaran filem dan lagu Tanda Kasih, runut bunyi (OST) filem Penghukum: Nusantara Assassin di TGV Pavilion Bukit Jalil di sini, baru-baru ini.

Pada 1 November lalu, Syazwan dan Syafiq Kyle diumum pemenang kategori Pelakon Pembantu Terbaik melalui lakonan dalam filem Blood Brothers: Bara Naga.

Kategori itu disaingi Aedy Ashraf (Kahar: Kapla High Council), Eman Manan (Takluk: Lahad Datu) dan Shukri Yahaya (Blood Brothers: Bara Naga).

Sudah 15 tahun bergiat aktif dalam dunia lakonan, Syazwan menganggap bidang seni sebagai tanggungjawab yang perlu dilakukan dengan penuh komitmen.

“Saya serius kerana ini sahaja kerja yang saya buat. Saya juga percaya yang kalau tak buat bagus hari ni, nanti orang sudah tak tengok kita.

“Jadi, setiap kali di set penggambaran, saya akan cuba beri yang terbaik dan tidak pernah ambil sambil lewa,” katanya.

Pelakon filem Blood Brothers: Bara Naga itu mendakwa tidak pernah tamak mengejar tawaran. Sebaliknya, Syazwan lebih mengutamakan kualiti dan keseimbangan dalam kerjaya serta kehidupan peribadi.

“Saya tidak tamak dengan kerja. Saya bukan jenis hendak buat semua benda dalam satu masa. Kalau ada rezeki, saya ambil. Kalau tak, saya tenang saja.

“Sebelum ini, saya pernah berehat hampir tujuh bulan daripada berlakon selepas pemergian arwah ibu, akhir tahun lalu. Ketika itu, saya beri tumpuan kepada keluarga,” katanya.

“Melihat graf kerjaya saya daripada dahulu hingga sekarang, masih konsisten. Walaupun ada waktu senyap sekejap, tetapi saya tahu kenapa saya berhenti. Itu semua pilihan saya sendiri,” ujarnya.

Syazwan masih terbuka meneroka peluang baharu termasuk melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa jika diberi kesempatan.

“Saya hendak pergi sejauh mana saya mampu. Kalau ada ruang ke peringkat antarabangsa, saya fikir, semua pelakon pun akan teruja. Tapi yang penting, terus berusaha dan jaga kualiti kerja,” katanya.

Dalam perkembangan terkini, Syazwan sedang menjalani penggambaran filem Orang Perang arahan Hashim Rejab terbitan Nanordstudio. Naskhah itu menampilkan Niezam Zaidi, Amar Alfian, Fadhli Masoot dan Adam Corrie. – BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here