Home Buletin Semasa KERAJAAN KELANTAN HARGAI BANTUAN BANJIR

KERAJAAN KELANTAN HARGAI BANTUAN BANJIR

136
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menghargai setiap titik peluh agensi keselamatan yang berhempas pulas menyelamatkan mangsa banjir serta dalam usaha memberikan pelbagai bentuk bantuan kepada mereka.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, selain agensi keselamatan, beliau turut mengucapkan terima kasih terhadap agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), sukarelawan termasuk pempengaruh serta individu yang turut menyalurkan bantuan tersebut.

“Saya tujukan penghargaan ini khusus kepada mereka kerana memberikan sokongan dan meringankan bebanan mangsa banjir sepanjang negeri ini dilanda banjir.

“Sesungguhnya semangat tolong-menolong dan keprihatinan yang ditunjukkan mencerminkan kekuatan persaudaraan Islam dan kepedulian sosial dalam kalangan masyarakat kita, yang berjaya mengatasi segala perbezaan yang wujud,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Nassuruddin turut mengingatkan orang ramai bahawa musibah banjir adalah salah satu cara untuk meningkatkan kesabaran malah setiap kesusahan yang dihadapi bakal diganti dengan kesenangan.

“Seluruh rakyat hendaklah berganding bahu dan bersatu hati dalam menghadapi ujian ini dengan segala bentuk bantuan agar susah senang kita hadapi bersama.

“Saya juga menyeru kepada seluruh rakyat agar terus berdoa dan mengadakan solat hajat memohon kesejahteraan negeri serta dijauhkan dari segala musibah yang tidak dingini,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here