Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
SEPANG: Laungan takbir dan Free Palestine bergema di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 malam tadi apabila 23 aktivis Malaysia Global Sumud Flotilla (GSF) selamat pulang ke tanah air kira-kira jam 11.30 malam tadi.
Lebih 300 penyokong, termasuk ahli keluarga, sahabat, serta penyokong hadir bagi menyambut kepulangan wira dan wirawati negara itu.
Suasana penuh emosi bertukar hiba apabila para aktivis berpelukan dengan ahli keluarga masing-masing, menzahirkan kelegeaan selepas beberapa hari terpisah dan berdepan saat getir.
Kepulangan mereka turut diiringi dengan nyanyian lagu patriotik “Inilah Barisan Kita” serta kibaran bendera Malaysia dan Palestin bagi menggambarkan semangat solidariti.
Terdahulu, pesawat Emirates EK342 dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang membawa kumpulan berkenaan mendarat di KLIA 1 kira-kira jam 10.07 malam tadi.
Turut mengiringi kepulangan aktivis ialah wakil Kementerian Luar dan wakil Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) termasuk Ketua Pengarahnya, Datuk Sani Araby Al-Kahery.
Lima peguam daripada Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) turut bersama rombongan itu bagi mewakili 23 sukarelawan berkenaan iaitu Fahmi Abd Moin, Ahmad Nazrin Abu Bakar, Dir Kheizwan Kamaruddin, Azril Mohd Amin dan Luqman Mazlan.
Media sebelum ini melaporkan Khamis lalu, semua 23 aktivis Malaysia ditahan tentera Israel di perairan Zon Merah di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke Pelabuhan Ashdod, Israel.
Mereka adalah sebahagian peserta daripada misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang berhasrat menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza.
IMedikel TV






