GAZA: Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin (UNRWA), berkata kemudahannya yang menempatkan keluarga pelarian di seluruh Semenanjung Gaza diserang sekurang-kurangnya 270 kali, mengakibatkan 372 orang terbunuh.
Agensi PBB itu, yang berdepan pemotongan dana di tengah-tengah dakwaan Israel bahawa segelintir bekas kakitangannya terbabit dalam serangan 7 Oktober lalu, berkata keadaan di Gaza ‘sangat terdesak’.
“Disebabkan tiada tempat lain untuk pergi, orang ramai terus berlindung di kemudahan PBB yang sama ini, walaupun selepas serangan,” kata UNRWA dalam catatan di media sosial.
Dalam catatan sebelum ini, UNRWA berkata, setiap hari adalah ‘perjuangan untuk terus hidup’ bagi penduduk Gaza yang kekurangan air bersih dan makanan.
“Tanpa air yang selamat, lebih ramai orang akan mati akibat kekurangan keperluan dan penyakit,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata ‘tiada apa yang boleh menjustifikasi hukuman kolektif terhadap rakyat di Gaza’.
Menyenaraikan jenis serangan yang dikaitkan dengan Hamas ketika serbuan 7 Oktober ke atas selatan Israel, ketua PBB itu melalui media sosial, berkata jenayah itu walaupun dahsyat tidak wajar menghukum seluruh penduduk wilayah Palestin.
Guterres dalam catatannya selepas itu, berkata ‘tiada pihak dalam konflik bersenjata melebihi undang-undang antarabangsa’ dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) perlu dipatuhi.
“Undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk prinsip perbezaan, perkadaran dan langkah berjaga-jaga dalam serangan perlu sentiasa ditegakkan,” katanya.
ICJ pada bulan lalu mengarahkan Israel mengambil langkah untuk menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






