MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim mengakui kelekaan berulang kali dalam mengekalkan tumpuan menjejaskan kemajuan pasukannya selepas seri 4-4 menentang Bournemouth di Old Trafford, awal pagi tadi.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Amorim pada mulanya bersorak menyangka gol kemenangan sudah terhasil apabila Matheus Cunha meledak jaringan pada minit ke-79 untuk memberikan kelebihan 4-3.
Namun, pemain gantian berusia 19 tahun, Eli Junior Kroupi menyamakan kedudukan pada minit ke-84, kali kedua dalam perlawanan itu United melepaskan kelebihan mereka.
Dalam salah satu persembahan terbaik musim ini, United tetap dibolosi empat gol.
“Ia sangat mengecewakan, kami benar-benar kecewa,” kata Amorim.
“Keputusan perlawanan sepatutnya sangat berbeza. Sekali lagi, enam minit pada babak kedua, sama seperti menentang Nottingham Forest (seri 2-2), kami hilang tumpuan dan mereka menjaringkan dua gol.
“Tetapi kami berjaya kembali ke dalam perlawanan, kami menjaringkan dua gol semula dan kemudian kami perlu menamatkan perlawanan.”
Anak buah Amorim mengasak pelawat dengan 17 percubaan dalam babak pertama yang benar-benar dominan, namun Bournemouth berjaya memanfaatkan pembaziran peluang oleh United.
“Kami menguasai perlawanan dan mencipta begitu banyak peluang. Kami sepatutnya masuk ke bilik persalinan pada waktu rehat dengan keputusan yang berbeza,” kata Amorim.
“Pada akhirnya kami layak memperoleh lebih daripada satu mata.
“Orang ramai khususnya di Old Trafford mahu menang, tetapi mereka mahu diilhamkan dengan melihat pasukan bermain bola sepak yang baik. Kami melakukannya dengan baik pada detik-detik tertentu.
“Ia satu persembahan yang baik, tetapi kami perlu lebih klinikal kerana mencipta terlalu banyak peluang.”
Jurulatih dari Portugal itu menegaskan masalah berkenaan lebih bersifat masalah mental berbanding taktikal.
“Banyak perkara baik, tetapi banyak juga yang perlu diperbaiki,” kata Amorim.
“Kami kadangkala tidak memenangi perlawanan kerana perkara kecil. Ia bukan kerana pertahanan empat pemain, tiga pemain atau lima pemain. Ia adalah perincian yang perlu kami perbaiki, memahami momentum perlawanan dan kami perlu lebih klinikal.”
Amorim melakukan sedikit perubahan pada formasi pertahanan lima pemain kegemarannya untuk perlawanan itu dengan menolak Amad Diallo, yang menanduk masuk gol dari jarak dekat pada minit ke-13, ke posisi lebih menyerang.
“Anda boleh lihat sebaik sahaja di bilik persalinan, semua orang benar-benar kecewa,” kata Diallo. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






