Home Buletin Semasa KELANTAN TUTUP KOMPLEKS BELI-BELAH, PASAR RAYA PADA HARI PERTAMA AIDILFITRI, AIDILADHA

KELANTAN TUTUP KOMPLEKS BELI-BELAH, PASAR RAYA PADA HARI PERTAMA AIDILFITRI, AIDILADHA

201
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memutuskan untuk menutup sepenuhnya operasi beberapa premis perniagaan terpilih di seluruh negeri ini pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha bagi tahun ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan ketetapan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang diadakan semalam.

Memetik laporan UPKN, beliau berkata penutupan berkenaan membabitkankan operasi kompleks beli-belah, pasar raya besar serta pasar raya di seluruh Kelantan pada hari pertama kedua-dua perayaan tersebut.

“Kerajaan negeri telah memutuskan supaya premis-premis perniagaan tertentu iaitu kompleks beli-belah, pasar raya besar dan pasar raya di seluruh Kelantan ditutup sepenuhnya pada hari raya pertama Aidilfitri dan Aidiladha,.

“Manakala premis makanan segera serta kedai serbaneka hanya dibenarkan beroperasi selepas jam 1 petang pada hari pertama kedua-dua perayaan tersebut,”katanya.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri mengambil kira aspek kebajikan pekerja pasar raya yang sebelum ini terkesan apabila operasi premis hanya ditutup separuh hari pada musim perayaan.

“Pendekatan menutup operasi separuh hari yang dilaksanakan tahun lalu menyebabkan ramai pekerja sektor peruncitan tidak dapat menikmati sepenuhnya suasana hari raya bersama keluarga.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan oleh persatuan pekerja pasar raya agar mereka diberi peluang menyambut hari raya dengan lebih bermakna bersama ahli keluarga,”katanya.

Beliau turut menegaskan langkah tersebut selari dengan dasar pentadbiran negeri berteraskan konsep Membangun Bersama Islam yang menitikberatkan pemuliaan hari raya sebagai hari kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa.

“Kerajaan negeri mahu memelihara tradisi masyarakat Melayu Islam yang menjadikan hari raya sebagai hari besar untuk berkumpul dan meluangkan masa bersama keluarga sepanjang hari,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya merancang pembelian barangan keperluan lebih awal sebelum tamat waktu operasi premis perniagaan pada malam hari raya.

“Mana-mana pasar raya yang mempunyai keperluan khusus untuk melanjutkan waktu operasi masih boleh mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan lanjut.

“Keputusan itu diharapkan dapat memberi ruang kepada para pekerja sektor peruncitan menikmati sambutan hari raya dengan lebih bermakna bersama keluarga di samping memelihara nilai budaya serta syiar Islam di Kelantan,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here