Home Hiburan SHERRY ANGGAP BELI KELENGKAPAN RAYA AWAL TINDAKAN BIJAK

SHERRY ANGGAP BELI KELENGKAPAN RAYA AWAL TINDAKAN BIJAK

179
0

KUALA LUMPUR: Kecoh di media sosial apabila segelintir pihak mempertikaikan tindakan membeli kelengkapan Hari Raya lebih awal.

Memetik laporan Berita Harian, bagaimanapun, bagi pengacara dan pelakon popular, Sherry Alhadad, perkara itu bukanlah sesuatu yang perlu dijadikan isu.

Sherry atau nama sebenarnya, Sharifah Mariam Syed Abdullah Al-Hadad, 42, berkata setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam membuat persiapan Aidilfitri.

Katanya, ada yang memilih untuk menyelesaikan segala keperluan lebih awal bagi memudahkan urusan sepanjang Ramadan.

“Saya sendiri pada awal Ramadan sudah selesai membeli semua kelengkapan termasuk baju raya. Sebelum ini saya jenis yang membuat persiapan saat akhir, termasuk membeli baju dan tiket kapal terbang.

“Saya yang menguruskan keluarga, jadi lebih baik persiapan itu disiapkan lebih awal. Saya anggap membuat persiapan awal adalah satu tindakan yang bijak,” katanya ketika ditemui pada sidang media dan majlis tayangan perdana program Raya Astro di Bukit Bintang, di di sini, baru-baru ini.

Menurut Sherry, ada juga individu yang memilih untuk membeli kelengkapan pada saat akhir kerana mahu mengambil peluang mendapatkan harga lebih murah.

“Ada setengah orang suka membeli lambat kerana mungkin ada jualan murah dan boleh berjimat.

“Ada juga barangan yang boleh dibeli secara dalam talian dan terus dihantar ke rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Sherry berkata antara kelebihan membuat persiapan lebih awal adalah memberi ruang sekiranya berlaku kerosakan pada barangan yang dibeli.

Katanya, keadaan itu memudahkan proses pemulangan atau pertukaran sebelum menjelang Aidilfitri.

“Kelebihan membeli kelengkapan lebih awal adalah jika ada kerosakan, kita masih sempat menukar atau memulangkannya kepada penjual sebelum raya.

“Sebenarnya tiada masalah membuat persiapan awal, tetapi perlu diingatkan supaya tidak berbelanja secara melampau sehingga lupa keutamaan. Beli awal atau lambat tidak salah, yang penting perlu beringat ketika berbelanja,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here