Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan sebanyak RM27.5 juta bagi pelaksanaan pelbagai program pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar pada tahun ini sebagai komitmen terhadap agenda kelestarian sejajar dengan dasar Membangun Bersama Islam (MBI).
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata usaha itu dilaksanakan berasaskan lima Maqasid Syariah, yang menjadi teras kepada dasar pentadbiran negeri serta seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Allah SWT telah melantik manusia sebagai khalifah-Nya di muka bumi dengan tujuan untuk memakmurkan alam ini berlandaskan kepatuhan dan ketundukan kepada syariat Islam, termasuk dalam aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sebagai manusia,” katanya dalam perkongsian di Facebook selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2025 Peringkat Kebangsaan di Renai Hotel, di sini, malam tadi.
Mohd Nassuruddin berkata, isu alam sekitar sentiasa menjadi perhatian kerajaan negeri dan pelbagai langkah proaktif telah diambil bagi memastikan kelestarian alam terus terpelihara untuk generasi akan datang.
“Bagi memastikan kejayaan agenda kelestarian ini, semua pihak perlu berganding bahu sama ada agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun masyarakat agar usaha pemeliharaan alam dapat direalisasikan dengan berkesan,” katanya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar pelbagai inisiatif yang dilaksanakan menjadi penyumbang ke arah menjadikan Kelantan sebagai negeri yang Bersih, Lestari dan Sejahtera, selaras dengan prinsip pentadbiran Membangun Bersama Islam.
IMedikel TV






