Home Buletin Semasa KELANTAN PERKASA PKS KE PERINGKAT GLOBAL

KELANTAN PERKASA PKS KE PERINGKAT GLOBAL

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan komited dalam membantu usahawan kecil dan sederhana (PKS) bagi memasarkan produk mereka ke peringkat global.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan Negeri Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman, berkata terdapat beberapa langkah-langkah diambil kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) untuk membantu usahawan PKS mengembangkan produk mereka ke peringkat antarabangsa.

“Di antara langkah-langkah kerajaan negeri melalui PKINK untuk membantu usahawan-usahawan PKS adalah melalui platform Kala Sentral Sdn Bhd, pusat pengumpulan produk dan barangan usahawan tempatan, penganjuran program jualan iaitu di kala festival yang merupakan program tahunan PKINK, penyertaan usahawan ke ekspo dan pameran dalam dan luar negera melalui platform digital usahawan masing-masing yang sudah dihasilkan melalui kursus pendigitalan yang dilaksanakan.

“Kita juga membantu dari segi skim bina usahawan galakan industri sama ada melalui wanita, belia dan pertanian,”katanya

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (Bersatu-Paloh), Datuk Shaari Mat Hussin berkenaan langkah kerajaan negeri dalam membantu usahawan PKS berkembang dan bersaing di pasaran serta membantu mempromosi hasil-hasil
pengeluaran pengusaha-pengusaha itu di peringkat yang lebih global, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Darul Naim, di sini, hari ini.

Katanya sehingga 22 April lalu sebanyak 487 produk PKS terdapat di Kala Sentral kini berpindah ke Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Manakala katanya kejayaan Kala Festival 2024 di Aeon Mall, Shah Alam mencatat jualan kira-kira RM160, 731.

“Begitu juga produk-produk Kelantan ke antarabangsa antaranya produk kesihatan, makanan dan minuman daripada syarikat bumiputera dipasarkan ke Asia Tenggara, Arab Saudi, Thailand, negara ASEAN, Timur Tengah, Singapura serta Jepun,”katanya.

Dalam pada itu beliau berkata pihak kerajaan sentiasa mengadakan libat urus antara peniaga dan usahawan antaranya berkenaan skim bantuan usahawan dan galakan industri.

“Bermula Mei ini, kita akan terus memperkasakan penggunaan mikro kredit,”katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan ADUN Paloh, Shaari berkenaan bentuk kewangan atau bantuan yang disediakan kepada usahawan PKS bagi tujuan penjenamaan dan pasaran di peringkat luar negeri Kelantan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here