Home Buletin Semasa DARI RUMAH TANPA PINTU, DUA ANAK KECIL TEKAD UBAH NASIB KELUARGA

DARI RUMAH TANPA PINTU, DUA ANAK KECIL TEKAD UBAH NASIB KELUARGA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Walaupun hidup dalam serba kekurangan, namun bapa kepada lima anak ini masih gagahkan diri demi anak-anak tercinta.

Pintu rumah sepatutnya melindungi mereka digantikan dengan langsir lusuh, bagi memberikan sedikit perlindungan daripada cuaca dan ancaman luar.

Namun dalam kesusahan itu, dia cukup bertuah walaupun berpintukan langsir, kelima-lima anaknya lelaki.

Hamzah Yusoff, 49, dari Kampung Chasi, Tok Uban, di sini, kini tinggal bersama tiga daripada lima anaknya berumur 11, 14 dan 20 tahun di rumah pusaka arwah ibunya.

Manakala anak sulong dan anak ketiga Hamzah masing-masing berumur 22 dan 19 tahun kini bekerja di sebuah kilang di Johor.

Katanya dia sebelum ini bekerja sebagai mekanik membaiki mesin di sebuah kilang emas di Terengganu sebelum pulang ke kampung untuk menjaga ibunya.

Manakala isterinya, Zayati Jusoh, 48, masih bekerja di sebuah sekolah di Terengganu sebagai guru KAFA.

”Rumah yang saya tinggal sekarang adalah rumah arwah ibu, tetapi arwah ibu sudah wasiatkan kepada saya. Semasa arwah ibu masih hidup saya sudah baiki rumah ini sedikit demi sedikit untuk keselesaan, tetapi tidak sempat.

”Isteri saya bekerja sebagai guru KAFA di Terengganu. Kami menjalani kehidupan perhubungan jarak jauh (PJJ) memandangkan isteri masih bekerja di sana, dan saya bersama anak-anak tinggal bersama di sini sebelum kematian ibu akibat sakit tua sejak sembilan bulan lalu.

”Kalau hendak diikutkan lebih 15 tahun kami menjalani kehidupan PJJ. Tetapi setiap minggu atau dua minggu sekali memang dia akan balik ke sini.

”Kalau isteri saya balik ke sini, dia yang akan tolong mengemas dan melipat baju,”katanya.

Menurut Hamzah walau agak perit kerana terpaksa berjauhan dengan isteri tercinta, namun dia akur dengan ketentuan Allah kerana isterinya juga mempunyai komitmen sendiri.

Katanya, diharap ada pihak yang sudi membantu bagi menempatkan isterinya di sekolah berhampiran di Kelantan, memandangkan dia kini menghidap penyakit jantung sejak awal tahun ini.

Keadaan tidak diduga dan menjadi lebih sukar bagi Hamzah akibat penyakit itu kerana membataskan kemampuannya untuk melakukan kerja berat.

Katanya sebelum ini dia bergantung kepada kerja kampung untuk menyara keluarga.

”Sebelum ini saya sihat sahaja, tiada sebarang penyakit, namun awal tahun ini saya kena serangan jantung secara mengejut.

”Sebelum ini saya bekerja nelayan sungai, mengambil ubah membelah kayu dan menebas rumput di dalam kebun.

”Namun selepas sakit walaupun pekerjaan sama dilakukan tetapi agak terbatas, kalau rasa sesak nafas saya akan berhenti dan berehat, tidak sama seperti dahulu,”katanya.

Menurut Hamzah dia mengambil upah menebas sebanyak RM100 untuk satu ekar tanah, manakala upah membelah kayu pula adalah sebanyak RM2.20 sebatang.

Namun katanya bagi menyiapkan kerja penebasan bagi satu ekar tanah dia mengambil masa tiga hingga empat hari untuk siap sepenuhnya.

Kisah kesusahan keluarga ini mendapat perhatian 3rd Force Pasir Mas sekaligus membawa kru Berita IMedikel TV dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Jarum, Ahmad Izhan Ibrahim untuk melihat sendiri keadaan keluarga Hamzah.

Koordinator 3rd Force, Wan Zalilah Shafie menyeru orang ramai untuk membantu meringankan beban keluarga Hamzah, sama ada melalui sumbangan kewangan atau bantuan membaiki rumah.

Sementara itu dua anak Hamzah, Muhammad Hasiff Hafizi, 14, dan  Muhammad Hadif Zaini, 11, masing-masing hanya membawa wang saku RM3 dan RM2 setiap hari ke sekolah.

Namun kata mereka wang itu sudah mencukupi untuk membeli makanan di kantin.

Dua beradik itu ketika ditemui kru Berita IMedikel TV, berkata mereka bertekad menjadi seorang anggota tentera dan guru dengan harapan dapat membantu keluarga keluar dari belenggu kemiskinan.

”Saya bawa RM3 ke sekolah, selalu beli bihun tomyam ketika waktu rehat. Kadang-kadang saya membeli nasi.

”Saya bercita-cita untuk menjadi seorang anggota tentera kerana minat dan ingin membantu abah dan umi,”katanya.

Manakala Muhammad Hadif Zaini difahamkan seorang murid yang baik dan bijak di sekolah serta mempunyai harapan yang tinggi untuk Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) tahun ini.

”Saya bawa duit RM2 sehari. Pagi saya dapat makan Rancangan Makanan Tambahan (RMT), jadi duit RM2 saya belanja semasa kelas KAFA.

”Saya target untuk mendapat 9A dalam UPKK nanti. Saya hendak tolong abah dan umi sebab mereka jaga saya dari kecil.

“Cita-cita saya ingin menjadi guru kerana ingin mendidik anak murid,”katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Simpanan Nasional, 03007-41-00013627-7 atas nama Hamzah Yusoff.

Setiap bantuan yang diberikan amat bermakna dalam membantu keluarga ini mendapatkan kehidupan yang lebih selesa dan selamat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here