Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menerusi Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) membuat rundingan bersama pemilik pasaraya Parkson untuk mengambil alih kawasan parkir “basement” sebagai parkir tambahan kepada pengunjung yang berkunjung ke Pasar Siti Khadijah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata pihaknya dari semasa ke semasa memikirkan kaedah yang sesuai bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.
“Setakat ini kita masih dalam rundingan dengan pemilik pasaraya Parkson untuk mengambil alih parkir “basement” mereka untuk dijadikan parkir tambahan kepada pengunjung di pasar Siti Khadijah
“Kesesakan biasanya berlaku pada waktu puncak kerana berpunca daripada sikap pengguna yang suka menunggu di dalam kenderaan di hadapan kedai semasa membeli,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dr Hafidzah Mustakim (BN-KOTA LAMA) mengenai perancangan untuk mengkaji semula aliran trafik di tengah bandar Kota Bharu bagi menangani kesesakan jalan seperti Jalan sekitar Pasar Siti Khadijah dan Jalan Sultanah
Zainab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
Mengulas lanjut, Hilmi berkata, buat sementara waktu beliau bercadang agar pengguna jalan raya menggunakan kaedah perkongsian kenderaan bagi mengurangkan kesesakan.
“Kita mohon kepada warga bandar supaya membantu mengurangkan kesesakan dan mengurangkan kemasukan kenderaan di dalam bandar.
“Walaubagaimanapun terdapat juga jalan alternatif yang boleh digunakan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan laporan trafik, Kelantan adalah negeri kedua mengalami kesesakan lalu lintas selepas Pulau Pinang.
Tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM5.5 juta bagi penambahbaikan infrastruktur Pasar Siti Khadijah menerusi projek membabitkan aspek kebersihan, tandas, baik pulih bumbung dan sistem pendawaian.
Peruntukan itu menjadikan keseluruhan RM7 juta yang sudah diluluskan Kerajaan Pusat sejak tahun lalu.
IMedikel TV






