LONDON: Bintang Chelsea, Mykhailo Mudryk, dilaporkan melepasi ‘ujian pengesan penipuan’ dalam usahanya membuktikan diri tidak bersalah susulan penggantungan akibat isu doping, menurut kenyataan oleh salah seorang ketua Shakhtar Donetsk.
Pemain berusia 24 tahun itu kini digantung sementara daripada menyertai sebarang perlawanan bola sepak selepas disahkan positif menggunakan bahan terlarang Meldonium tahun lalu.
Namun begitu, Mudryk menafikan sebarang salah laku dan berikrar untuk membersihkan namanya. Dia tidak beraksi untuk Chelsea sejak November lalu.
Pada hujung minggu, Mudryk dilihat seakan menyuarakan rasa rindu terhadap skuad Chelsea melalui komen berbaur teka-teki di salah satu hantaran media sosial kelab, ketika dia masih menunggu keputusan sampel ‘B’ yang akan menentukan sama ada keputusan positif dari sampel ‘A’ akan disahkan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Shakhtar Donetsk, Sergei Palkin, mendedahkan bahawa Mudryk melakukan pelbagai usaha untuk membersihkan namanya, termasuk menjalani ujian pengesan penipuan (lie detector).
“Saya sudah bercakap dengan Mudryk berkali-kali sejak isu doping ini timbul,” kata Palkin.
“Dia sendiri tidak faham bagaimana perkara ini boleh berlaku. Dia benar-benar tiada petunjuk, langsung tidak tahu.
“Jadi, peguamnya mengaturkan agar dia menjalani ujian poligraf (ujian mengesan penipuan) dan dia lulus. Ujian itu akan menjadi sebahagian daripada bukti yang menunjukkan dia tidak berniat melakukan sebarang kesalahan.”
“Mudryk menyatakan dengan jelas bahawa dia tidak bersalah. Sekarang kita perlu mengetahui bagaimana perkara ini boleh berlaku, dan siapa yang sebenarnya bertanggungjawab. Peguamnya sedang menyiasat. -Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






