Home Buletin Semasa KELANTAN KOMITED TANAM SEMULA HUTAN

KELANTAN KOMITED TANAM SEMULA HUTAN

605
0

 Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar menerusi pelaksanaan projek Ladang Hutan secara sistematik membabitkan kawasan seluas lebih 60,000 hektar yang sudah ditanam semula secara berfasa.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Izani Husin berkata, projek penanaman semula itu dijalankan melalui kerjasama strategik dengan syarikat swasta berpotensi dan dikawal selia Jabatan Hutan Negeri Kelantan.

“Kita nak tanam hutan, bukan tebang hutan. Projek ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan komited terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan hutan, dengan melaksanakan penanaman semula selepas aktiviti pembalakan dilakukan secara terkawal,”katanya dalam hantaran media sosial, semalam.

Dr. Izani yang juga Pengerusi Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) berkata kejayaan Edubest Plantation Holdings yang membangunkan projek Ladang Hutan seluas 25,000 ekar sejak tahun 2019 kini mula menampakkan hasil.

Beliau berkata, pemilihan spesis eucalyptus dibuat berdasarkan kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menilai potensi komersial serta kesesuaian iklim setempat.

“Tanah seluas 25,000 ekar yang diusahakan bagi tujuan penanaman semula (replanting) spesis balak eucalyptus kini telah memasuki tahun ke-5 pelaksanaannya.

“Eucalyptus terbukti sesuai untuk menghasilkan produk-produk berasaskan biomass dan kayu perabot bernilai eksport tinggi,”katanya.

Dalam masa sama, projek Ladang Hutan itu juga memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat dari segi peluang pekerjaan, pembangunan kepakaran tempatan dalam bidang tisukultur dan nurseri, serta menjadi medan pendidikan dan kesedaran awam terhadap pentingnya pengurusan hutan secara mampan.

Dr. Izani turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Jabatan Hutan Negeri Kelantan serta semua pihak terlibat atas usaha berterusan dalam menjayakan agenda pemuliharaan hutan negeri.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here