Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengenal pasti dua lokasi berpotensi untuk melakukan aktiviti mendulang emas oleh rakyat secara sah.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan, berkata antara lokasi itu termasuk Tanah Merah dan Jeli.
Beliau bagaimanapun berkata ia masih dalam peringkat penelitian membabitkan pelbagai aspek termasuk keselamatan, alam sekitar dan kedudukan kawasan yang terlibat.
“Kita akan pastikan lokasi rakyat yang menjalankan aktiviti tersebut diteliti terlebih dahulu.
“Antaranya, kita bimbang ada kawasan termasuk dalam zon yang tidak dibenarkan untuk melombong.
“Selain itu, kita juga akan tengok dari segi aspek alam sekitar serta keselamatan pelombong serta pendulang,” katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak berhasrat menyukarkan rakyat yang mencari rezeki melalui kegiatan berkenaan, sebaliknya mahu menyelia dan mempermudah proses supaya aktiviti itu dapat dijalankan secara sah dan selamat.
“Kita tahu rakyat sedang melakukan aktiviti ini, jadi kerajaan rasa perlu mengambil tanggungjawab untuk menyelia.
“Di samping kita hendak permudahkan urusan rakyat supaya rakyat melakukan aktiviti itu secara sah,”katanya.
Dr. Mohamed Fadzli menegaskan, kerajaan negeri juga memberi ruang kepada rakyat mencari rezeki tambahan dengan kawalan yang wajar.
“Kalau kerajaan permudahkan urusan rakyat, insya-Allah Allah akan permudahkan urusan kerajaan dan murahkan rezeki negeri,”katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri sudah mengarahkan beberapa pegawai termasuk pegawai undang-undang serta pihak Kelstone untuk mendraf syarat-syarat tersebut.
“Tujuan kita bukan untuk menyusahkan, tetapi untuk memastikan keselamatan rakyat dan menjaga alam sekitar.
“Saya sudah meminta Pengurus Besar Kelstone Sdn Bhd, P.Geol Phakhruddin Abdullah, serta pegawai undang-undang meneliti beberapa aspek berkaitan,”katanya.
IMedikel TV






