Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kelantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan rekod 96,778 mangsa dan 284 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di 10 daerah setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Dzulkefly Ahmad berkata, lapan negeri lain yang turut dilanda banjir termasuk Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Perlis, Melaka dan Selangor.
“Setakat ini, bilangan mangsa banjir di Terengganu 41,963 dengan 311 PPS di lapan daerah, Kedah 8,125 dan 55 PPS di tujuh daerah, Negeri Sembilan 1,925 dengan 13 PPS di tiga daerah serta Johor 591 dengan 14 PPS di dua daerah.
“Berikutan banjir di Kelantan, kita menyediakan sebanyak 20 Pasukan Pertubuhan Kecemasan dengan 104 anggota kesihatan dari sembilan negeri untuk dimobilisasi ke Pasir Mas, Pasir Putih dan Tumpat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dzulkefly berkata kesemua mereka telah tiba di Kelantan sejak semalam.
Tambahnya, seramai 10 pegawai daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk empat doktor turut dihantar ke negeri tersebut untuk memberikan bantuan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan, menjaga kebersihan diri dan makanan, serta mencegah penyakit berjangkit.
IMedikel TV






