Home Buletin Semasa KELANTAN BENTANG BELANJAWAN 2026 RM1.43 BILION

KELANTAN BENTANG BELANJAWAN 2026 RM1.43 BILION

467
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan hari ini membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM1.43 bilion pada pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Ketiga, Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2025, di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, belanjawan tahun ini mencatat anggaran defisit sebanyak RM86.2 juta berbanding RM93.02 juta pada tahun lalu sekaligus menyaksikan pengurangan defisit sebanyak RM6.82 juta.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata Belanjawan 2026 bertemakan “Kelantan Sejahtera: Prihatin Rakyat, Ekonomi Berkat, Negeri Rahmat” itu memberi tumpuan kepada empat teras utama pembangunan negeri.

“Empat teras utama itu ialah Pembelaan dan Pemberdayaan Rakyat, Keterjaminan Makanan dan Kemampanan Ekonomi, Kesejahteraan Rakyat dan Kelestarian Negeri, serta Pembangunan Islam, Pendidikan dan Modal Insan,” katanya ketika membentangkan Ucapan Belanjawan Kelantan 2026.

Beliau berkata kerajaan negeri menjangkakan sebanyak RM1.02 bilion hasil negeri daripada jumlah peruntukan Belanjawan 2026 dengan peningkatan sebanyak RM19.24 juta berbanding RM997.26 juta anggaran hasil pada tahun sebelum.

“Daripada jumlah itu, hasil cukai sebanyak RM260.8 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM332.99 juta dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM422.71 juta.

“Manakala anggaran perbelanjaan mengurus dijangka berjumlah RM1.1 bilion, berbanding RM1.09 bilion pada tahun 2025.

“Anggaran perbelanjaan pembangunan diperuntukkan sebanyak RM327.61 juta daripada jumlah keseluruhan Belanjawan negeri, berbanding RM361.33 juta pada tahun 2025,” katanya.

Katanya, pengurangan defisit itu dicapai melalui pelarasan semula peruntukan di bawah Wang Terkanun serta penyusunan semula pinjaman kerajaan negeri yang kini diuruskan melalui Kumpulan Wang Amanah Pinjaman Kerajaan Negeri Kelantan.

“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kawalan fiskal, malah memperkukuh tadbir urus kewangan negeri bagi memastikan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan perbelanjaan awam,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan semua jabatan dan agensi negeri supaya terus mengamalkan budaya kerja berintegriti dan berhemat seiring dengan Prinsip Pengurusan Ihtirafi, bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri terus Makmur dan terpelihara.

Dalam pada itu, sebanyak RM181.71 juta diperuntukkan bagi memperkukuh pembangunan Islam, pendidikan dan modal insan, manakala RM58.32 juta disalurkan bagi pembelaan rakyat, termasuk pembinaan 180 unit Rumah Dhuafa, iaitu pertambahan 45 unit berbanding tahun sebelumnya.

“Sebanyak 45 unit rumah kos rendah juga akan diberikan secara percuma kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM81.77 juta bagi memperkukuh keterjaminan makanan dan kemampanan ekonomi negeri.

Mohd Nassuruddin turut menzahirkan harapan agar Belanjawan 2026 menjadi wadah untuk Kelantan terus melangkah ke hadapan dan berada di bawah limpahan rahmat Allah SWT.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here