Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan negeri menjangkakan Pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang-Golok memberi impak positif terhadap pembangunan ekonomi.
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan Negeri Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, projek itu akan meningkatkan perdagangan rentas sempadan melalui akses dua hala yang lebih lancar.
“Kerajaan negeri menjangkakan jambatan tersebut akan meningkatkan perdagangan rentas sempadan melalui akses dua hala yang lebih lancar, selain menyumbang kepada peningkatan nilai import dan eksport berasaskan produk pertanian, makanan serta peruncitan.
“Projek ini turut menjadi pemangkin sektor pelancongan dua hala melalui pakej pelancongan sempadan, selain membuka potensi pertumbuhan inap desa, penginapan bajet dan perniagaan makanan halal yang mampu menjana peningkatan ekonomi rakyat,” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Chetok, Zuraidin Abdullah, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Ketiga, Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2025, di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.
Md Anizam turut menjelaskan, pembinaan jambatan itu juga akan menggalakkan kemasukan pelaburan dari negara jiran, selaras dengan Rantau Panjang sebagai Zon Ekonomi Khas serta menyokong Zon Perdagangan Bebas.
Selain itu, katanya, faktor logistik turut diberi perhatian bagi memperkukuh sistem keselamatan dan kawalan sempadan yang lebih teratur, sistematik serta mesra rakyat.
“Projek ini juga akan memberi kesan rantaian infrastruktur kepada nelayan pada tanah hartanah sekitar dan peningkatan taraf sosio ekonomi penduduk rantau Panjang.
“Interaksi hubungan antara wilayah akan meningkat selari dengan peningkatan aliran trafik sejajar dengan keperluan semasa,” katanya.
Sementara itu menjawab soalan tambahan Zuraidin berhubung rancangan kerajaan negeri bagi menaik taraf jalan penghubung dan juga infrastruktur logistik di sekitar jambatan bagi menangani jangkaan peningkatan trafik pada masa akan datang Md Anizam berkata kerajaan negeri sudah mengenalpasti 13 lot tanah di sekitar kawasan jambatan untuk tujuan tersebut.
“Baru-baru ini, satu lawatan bersama diadakan dengan ketua jajahan dan beberapa jabatan tertentu dari Malaysia dan Thailand.
“Terdapat lebih kurang 13 lot yang kenalpasti di sekitar kawasan jambatan tersebut. Jabatan Kerja Raya (JKR) juga bercadang untuk pembinaan jalan baharu bagi memenuhi aliran trafik sebaik jambatan kedua itu siap.
“Tapak bagi pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang juga sudah dikenal pasti,” katanya.
IMedikel TV






