Penyanyi vokal laras dinamik, Ernie Zakri menyifatkan peluang menyanyikan lagu Tak Berlagu yang juga lagu tema rasmi (OST) filem seram Khadam sebagai satu takdir yang sudah tertulis buat dirinya.
Memetik laporan Harian Metro, Ernie, 34, mendedahkan bahawa pada awalnya dia belum mengetahui jalan cerita sebenar lagu berkenaan sehinggalah dibawa ke pejabat pengurusan untuk melihat sendiri naskhah filem itu.
“Masa itu kita belum tahu lagi cerita Tak Berlagu ini berkaitan apa, tetapi bila kita dibawa ke pejabat dan mereka tunjuk filem itu, saya memang kata ini seperti satu takdir.
“Sebabnya, ia ditulis oleh seorang ibu, dinyanyikan oleh seorang ibu, dan ceritanya pula adalah daripada sudut pandang (POV) seorang ibu,” katanya kepada Harian Metro.
Tambah isteri kepada penyanyi Syamel ini, dia sangat menyukai projek yang mempunyai hubung kait yang rapat dengan dirinya serta bersifat peribadi agar dapat menyampaikan karya itu dengan penuh keikhlasan.
Mengulas mengenai kerjasama pertamanya dengan dua figura hebat, NJWA dan Rendra Zawawi, Ernie menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang sangat luar biasa dan menganggap dirinya bertuah diraikan seperti keluarga sendiri.
“Ia sangat luar biasa. Sebenarnya saya sangat bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada projek ini sebab saya rasa betul-betul berada dalam keluarga Khadam.
“Kami tidak rasa terpinggir dan saya sebenarnya sangat teruja apabila filem ini akan ditayangkan serta tidak sabar untuk terbabit dalam aktiviti promosi,” katanya lagi.
Keputusan Ernie untuk turut serta juga didorong oleh hubungan emosi yang kuat, malah dia mengakui tidak dapat menahan air mata daripada mengalir sepanjang proses rakaman akibat terlalu menghayati watak Melor.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Khadam, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, kekuatan lagu ini terletak pada susunan muziknya yang dirancang dengan penuh teliti dari segi teknik dan emosi tanpa perlu bergantung kepada elemen kejutan (jump scare) semata-mata.
Muzik bagi naskhah berkualiti tinggi ini disusun dan diterbitkan oleh Rendra Zawawi bersama NJWA, malah turut mendapat sentuhan antarabangsa menerusi proses adunan oleh Alvin Wee di Los Angeles serta proses mastering oleh Jett Galindo, yang kedua-duanya adalah pemenang Anugerah Grammy.
Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng menegaskan, pemilihan Ernie dibuat berdasarkan kekuatan vokal serta keupayaan uniknya menterjemahkan kesakitan serta harapan melalui kawalan vokal yang dinamik. HMetro Online –
IMedikel TV






