Home Politik KEKECOHAN HANYA BABITKAN KUMPULAN KECIL AHLI PARTI – TUN FAISAL

KEKECOHAN HANYA BABITKAN KUMPULAN KECIL AHLI PARTI – TUN FAISAL

SHAH ALAM: Perwakilan BERSATU yang menimbulkan kekecohan kecil ketika Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan dasarnya dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) malam tadi, hanya membabitkan tindakan sekumpulan kecil ahli parti.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, insiden segelintir perwakilan yang didakwa mencemuh Muhyiddin pada penghujung ucapannya dengan melaungkan gesaan berundur, didalangi individu dipengaruhi agenda luar.

“Itu hanya kerja segelintir individu yang sudah jatuh ke dalam agenda musuh.

Seperti yang dilihat dalam video, hanya sebilangan kecil yang terbabit, daripada hampir 2,700 perwakilan (yang hadir) di dewan,” katanya ditemui, hari ini.

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, kepimpinan Muhyiddin tidak terancam dengan tindakan oleh segelintir perwakilan itu.

“Kepimpinan Muhyiddin tidak terancam dengan tindakan segelintir individu yang tidak berlandaskan perlembagaan parti, terutamanya apabila ia bukan sesuatu yang diiktiraf secara sah sebagai SD (akuan bersumpah) dan berdasarkan fakta palsu,”katanya.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut menganggap ia hanya satu kekecohan kecil, sambil mendakwa mereka yang terbabit malam tadi sudah pun memohon maaf.

“Cuma sebilangan kecil perwakilan yang terlalu teruja. Mereka yang terbabit sudah pun memohon maaf dan kita kini harus fokus kepada perkara penting yang sedang diuruskan. Alhamdulillah,” katanya.

Kekecohan itu tercetus malam tadi ketika bekas Perdana Menteri itu mendedahkan terdapat beberapa anggota dalam partinya sedang mengumpul tandatangan dalam usaha untuk menggulingkannya, menyebabkan beberapa hadirin menggesa beliau meletak jawatan.

Seseorang kemudian kedengaran menjerit, ‘Tidak benar, Tan Sri’, sebelum sekumpulan kecil perwakilan pula melaungkan ‘Turun, turun’ sebagai gesaan menyeru beliau melepaskan jawatannya.

Sebagai tindak balas, kedengaran perwakilan di dewan kemudian membalas dengan laungan ‘Hidup Tan Sri’ sebagai menandakan sokongan mereka kepada pemimpin utama parti itu. Kekecohan itu berjaya dileraikan petugas parti. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here