KUALA LUMPUR: Selama 17 tahun hidup menjanda, penyanyi, Azharina Azhar, 40, menyifatkan jodoh barunya mungkin belum dilahirkan lagi dan menyerahkan segalanya kepada ketentuan takdir.
Memetik laporan Harian Metro, Azharina secara bergurau berkata, mungkin juga dia perlu menunggu pelakon terkenal Bollywood, Salman Khan untuk mengahwininya kerana sangat meminati lelaki itu sejak dulu.
“Saya percaya jodoh (baharu) saya belum lahir lagi. Selepas 17 tahun hidup bersendirian, saya tak tahulah mungkin belum sampai rezeki saya untuk berkahwin. Jadi, saya menganggap jodoh saya belum lahir.
“Mungkin saya harus memujuk Salman Khan untuk mengahwini saya kerana dia adalah lelaki teragung, cinta abadi saya daripada saya anak dara sunti sampailah jadi janda,” katanya berseloroh.
Azharina yang ditemui pada majlis pelancaran lagu Gunung Kinabalu duet bersama penyanyi Daniesh Suffian baru-baru ini menyifatkan sehingga kini belum ada lelaki yang berani untuk mendekatinya.
“Mereka asyik takut saja tengok saya. Jadi, saya maafkanlah pada mereka dan keluarga mereka. Saya tak kisah pun.
“Kalau ia datang (jodoh), datanglah. Kalau tak datang pun tak apalah, saya terima. Saya pun tak nak ‘stress’ (tertekan). Banyak sangat kes perceraian, kes itu kes ini, jadi saya tak nak pening. Fokus pada keperluan buat masa sekarang.
“Keperluan hidup saya sekarang adalah membesarkan dua anak saya iaitu Rahmad, 11, dan Redho, 8. Itu tanggungjawab saya kepada mereka sangat besar.
“Pada masa sama, tanggungjawab saya untuk membangunkan syarikat dan perniagaan saya. Itu saya punya keutamaan untuk karier. Fokus saya sekarang untuk kehidupan saya dan kerja sahaja.
“Kalau ada datang lelaki itu, dia kena faham saya. Bukan saya yang nak kena faham dia. Kebanyakan yang datang itu (lelaki) ‘expectation’ macam pengurungan. Saya mungkin akan ‘stress’ di situ dan tidak mahu begitu,” katanya.
Menurut penyanyi lagu Elegi Sepi ini lagi, selama berbelas tahun dia hidup solo memang ada yang cuba mendekati, termasuk datang berjumpa dengan Allahyarham bapanya.
“Tapi, arwah bapa saya tidak terima. Sebab, bapa saya kata carilah duit. Tak payah saya pening-pening kepala. Katanya, abah rasa nanti kasihan pada lelaki itu. Tertekan dia kahwin sama kau.
“Iyalah, mungkin sebab bapa saya dan keluarga tahu, saya seorang sangat suka menyanyi. Saya menyanyi bukan kerana duit, kadang-kadang saya menyanyi hanya kerana sangat minat,” katanya.
Azharina pernah berkahwin dengan ahli perniagaan asal Kelantan, Datuk Shukri Mohamed pada 2005 dan jodoh tak panjang, mereka kemudian bercerai pada 2008 dan tidak dikurniakan cahaya mata. – HMetro Online –
IMedikel TV






