Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 37 warga asing dalam satu serbuan di sebuah hotel tiga bintang di Jalan Ipoh, pada Jumaat, selepas dipercayai menjadikan premis itu sebagai pusat pelacuran.
Operasi khas yang bermula pada jam 8.45 malam itu digerakkan hasil risikan selama dua minggu oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tangkapan membabitkan dua lelaki warganegara Myanmar, seorang lelaki warga India, seorang lelaki dan 17 perempuan warga Indonesia, sembilan perempuan Thailand, enam perempuan Vietnam serta seorang perempuan Laos berusia antara 19 hingga 61 tahun.
“Semakan awal mendapati enam perempuan Thailand, tiga perempuan Vietnam, dua perempuan Indonesia dan seorang perempuan Laos menyalahgunakan pas masing-masing, manakala seorang lelaki Indonesia tinggal lebih masa.
“Selain itu, dua lelaki Myanmar, seorang lelaki India, 15 perempuan Indonesia, tiga perempuan Vietnam dan tiga perempuan Thailand tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam serbuan itu, pasukan operasi turut menyita beberapa dokumen termasuk salinan perjanjian kerja, enam pasport Thailand, tiga pasport Vietnam, tiga pasport Indonesia dan satu pasport Laos.
Menurut beliau, sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan menjadikan hotel berkenaan sebagai pusat pelacuran warga asing, di mana pelanggan memilih wanita melalui aplikasi WhatsApp atau hadir terus ke lokasi.
“Kadar bayaran dikenakan antara RM250 hingga RM400 bagi setiap jam dan dipercayai beroperasi sejak September tahun lalu,” katanya.
Zakaria berkata, enam perempuan Thailand, tiga perempuan Vietnam, dua perempuan Indonesia dan seorang perempuan Laos ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala dua lelaki Myanmar, seorang lelaki India, 15 perempuan Indonesia, tiga perempuan Vietnam dan tiga perempuan Thailand disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.
Seorang lelaki Indonesia pula ditahan mengikut Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa.
“Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala tujuh lelaki tempatan turut diberikan notis hadir bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau menegaskan JIM akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras keberadaan pendatang asing tanpa izin selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat dan kedaulatan undang-undang.
IMedikel TV






