Home Sukan KEKALKAN CARRICK BIMBING MAN UNITED – DIALLO

KEKALKAN CARRICK BIMBING MAN UNITED – DIALLO

29
0

LONDON: Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro pemain sayap, Amad Diallo menyatakan sokongan penuh terhadap pengurus sementara, Michael Carrick untuk dilantik sebagai pengurus tetap Manchester United.

Carrick dilantik mengendalikan pasukan sehingga akhir musim pada Januari lalu selepas pemecatan Ruben Amorim.

Sejak itu, bekas pemain tengah United dan England itu sudah membimbing pasukan meraih tujuh kemenangan dan hanya satu kekalahan dalam 10 perlawanan.

United kini memerlukan empat kemenangan dan satu keputusan seri daripada baki tujuh perlawanan untuk kembali ke Liga Juara-Juara selepas dua tahun tidak beraksi di pentas itu.

Pihak pengurusan United menegaskan mereka tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan dan dijangka hanya akan membuat pilihan muktamad pada penghujung musim.

Namun, mereka masih belum berbincang dengan calon lain, dan pilihan juga semakin terhad selepas Thomas Tuchel memilih untuk bersama England dan Roberto De Zerbi menyertai Tottenham Hotspur.

Bercakap dari kem latihan empat hari kelab di Republik Ireland, Amad percaya United sudah mempunyai individu yang tepat.

“Bagi saya secara peribadi, dia adalah orang yang tepat. Dia mempunyai banyak pengalaman; dia kenal kelab ini dan memiliki DNA kelab.

“Hubungannya dengan setiap pemain sangat baik. Kadang-kadang pengurus seperti ini boleh membawa kelab ke tempat yang sepatutnya.

“Bukan pemain yang buat keputusan, tetapi bagi saya secara jujur, kami sangat gembira mempunyai Michael Carrick sebagai pengurus,” kata pemain antarabangsa Ivory Coast itu.

Walaupun sokongan daripada pemain kepada pengurus adalah perkara biasa, prestasi di atas padang menunjukkan hubungan antara Carrick dan skuadnya lebih daripada sekadar kata-kata.

“Kami mempunyai pengalaman yang baik dengannya. Dia tahu bagaimana untuk bercakap dengan kami dan kami akan cuba ambil sebanyak mungkin ilmu daripadanya.

“Ia menjadi lebih mudah kerana dia kenal kelab ini. Sangat bagus dapat bekerja di bawah kendaliannya,” kata penyerang, Bryan Mbeumo. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here