Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR MAS: Masih berbaki seminggu untuk kita menyambut Hari Kemerdekaan ke-68, sudah tentu ramai yang mempunyai kelainan tersendiri bagi menunjukkan rasa cintakan negara.
Begitu juga dengan pemilik kedai De’Suria Gallery yang menyediakan perkhidmatan sewaan busana Merdeka.
Marhaini Suriana Ayub, 37, dari Kampung Apa-Apa, di sini, berkata kedainya yang terletak di Tendong dipenuhi pelanggan sejak akhir Julai lalu apabila hampir 400 pasang busana Jalur Gemilang ditempah orang ramai menjelang sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
“Pelbagai jenis fesyen busana Merdeka ditawarkan untuk dipakai oleh kanak-kanak seawal usia dua tahun hingga dewasa termasuk saiz 5xl.
“Fesyen busana yang kita hasilkan ini berunsurkan warna Jalur Gemilang iaitu merah, biru, putih dan kuning, rekaannya juga ada daripada fesyen biasa hingga yang luar biasa.
“Untuk idea rekaan baju, saya akan buat penyelidikan dahulu kerana kita nak beri keselesaan kepada orang ramai terutama pilihan kain yang sesuai dengan cuaca di Malaysia,” katanya ketika ditemui di kedainya, di Tendong, di sini, pada Isnin.

Jelasnya, hampir 10 rekaan baharu yang dikeluarkan setiap tahun bagi memberi kelainan serta pilihan baharu kepada pelanggannya.
Katanya, setakat ini dia menyediakan lebih 1,000 pasang busana Merdeka dan Patriotik dengan pilihan sedondon untuk semua peringkat umur.
“Setiap tahun saya akan menambah rekaan baharu bagi mengelak daripada rekaan sama serta mengikut trend terkini.
“Kalau ada yang hendak mencari pakaian pada saat-saat akhir, inshaallah boleh dapatkan di kedai ini,” katanya.
Menurut Marhaini Suriana, kebanyakkan pelanggan dari pelosok negeri menyewa busana di kedainya dengan harga yang ditawarkan serendah RM20 hingga RM120 bagi tempoh tiga hari.
Sementara itu, seorang pelanggan yang ditemui, Noor Fiziaton Mohamad Alan, dari Tanah Merah, berkata dia datang untuk menyewa busana Merdeka untuk anaknya, Nur Hannah Tihani Mohamad Hafiz, 11 yang bersekolah di Sekolah Sri Suria 1, Tanah Merah.

“Ini kali pertama datang ke sini sebab anak saya teringin nak sewa baju untuk pertandingan busana Merdeka di sekolahnya, memang banyak pilihan dekat sini.
“Temanya adalah patriotik, dia memang bersemangat, boleh katakan setiap tahun dia sertai.
“Memang saya akan turun sekali untuk tengok anak saya buat pertunjukkan nanti,” katanya.
IMedikel TV






