Home Sukan KECEDERAAN MOUNT BAYANGI KEPUTUSAN SERI UNITED DENGAN PSG

KECEDERAAN MOUNT BAYANGI KEPUTUSAN SERI UNITED DENGAN PSG

GOTHENBURG: Pengurus Manchester United, Michael Carrick mengakui perlu mengambil langkah berhati-hati terhadap Mason Mount selepas pemain tengah England itu mengalami kecederaan ketika aksi persahabatan menentang Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi tadi.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Mount, yang menyertai United daripada Chelsea pada 2023, hanya beraksi kurang 20 minit selepas diturunkan dalam kesebelasan utama sebelum terpaksa meninggalkan padang susulan kecederaan kaki.

Pemain berusia 27 tahun itu dilihat mengalami masalah selepas pergelangan kakinya terkena asakan pemain lawan sebelum berbincang dengan barisan kejurulatihan di tepi padang dan digantikan Tyler Fletcher.

Rakaman video selepas perlawanan menunjukkan Mount berjalan masuk ke bas pasukan United tanpa memakai sokongan lutut atau but khas kecederaan. 

“Dia (Mount) terkena tendangan. Kami cuma mahu berhati-hati dan menjaganya. Kami bernasib baik setakat ini dengan masalah kecederaan, jadi kami mahu terus berhati-hati,” kata Carrick kepada pemberita.

Rakaman video selepas perlawanan menunjukkan Mount berjalan masuk ke bas pasukan United tanpa memakai sokongan lutut atau but khas kecederaan. 

United, yang akan bersaing dalam Liga Juara-Juara musim 2026/27 bersama juara bertahan PSG selepas menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat ketiga, ketinggalan 0-1 ketika insiden kecederaan Mount berlaku. 

PSG membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Ibrahim Mbaye walaupun gergasi Perancis itu tidak menurunkan ramai pemain utama mereka.

United kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-32 menerusi Bryan Mbeumo selepas Amad Diallo memenangi bola sebelum mencipta peluang.

Kebimbangan kecederaan kembali menghantui United pada awal babak kedua apabila penjaga gol berusia 40 tahun, Tom Heaton, mengalami masalah hamstring kanan ketika cuba keluar melakukan mengeluarkan bola.

Mbeumo hampir meledak gol kedua peribadi, namun aksi cemerlang penjaga gol PSG, Matvey Safonov, menggagalkan usaha pemain itu.

Safonov kemudian meninggalkan padang dengan ejekan penyokong selepas terlepas hukuman kerana mengasari Joshua Zirkzee di luar kawasan penalti.

Di penghujung permainan, United turut mencipta beberapa peluang menerusi Fletcher, Shea Lacey dan kapten Bruno Fernandes yang bergandingan baik dengan pemain baharu, Youri Tielemans.

Carrick menyifatkan aksi itu sebagai ujian baik buat pasukannya menjelang musim baharu.

“Saya menikmatinya. Cabaran yang bagus. Berbeza sedikit dengan cara mereka bermain. Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol,” kata Carrick kepada MUTV.

United kini mempunyai dua lagi aksi persahabatan menentang Leeds di Dublin pada 12 Ogos dan AC Milan di Wroclaw tiga hari kemudian sebelum membuka kempen Liga Perdana Inggeris bertemu Hull pada 22 Ogos. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here