Home Luar Negara EMPAT MAUT DALAM NAHAS HELIKOPTER DI RIO DE JANEIRO

EMPAT MAUT DALAM NAHAS HELIKOPTER DI RIO DE JANEIRO

RIO DE JANEIRO: Empat individu maut selepas sebuah helikopter terhempas di Rio de Janeiro pada Sabtu, termasuk tiga pelancong warga Colombia daripada keluarga yang sama.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, helikopter itu terhempas di Taman Negara Tijuca, kawasan hutan di lereng gunung yang mempunyai tumbuh-tumbuhan sangat lebat.

Konsul Jeneral Colombia di Rio de Janeiro, Diana Paez, mengesahkan perkara itu kepada AFP.

Pasukan bomba mengesahkan juruterbang dan tiga wanita terbakar hingga maut serta mengeluarkan gambar yang menunjukkan bangkai helikopter masih berasap di kawasan cerun bukit yang curam dan sukar untuk diakses.

Paez berkata, tiga wanita terbabit adalah sebahagian daripada kumpulan keluarga yang berkunjung ke bandar berkenaan bagi meraikan ulang tahun ke-15 seorang kanak-kanak perempuan. 

Kumpulan enam individu itu berpecah kerana helikopter berkenaan hanya mampu membawa tiga penumpang. 

“Nenek, ibu saudara dan sepupu kepada gadis yang menyambut ulang tahun kelahirannya itu maut dalam nahas berkenaan, manakala dia sepatutnya menaiki penerbangan kedua kemudian bersama bapanya dan pasangan bapanya,” katanya.

Konsulat Colombia turut membantu pihak berkuasa Brazil mengenal pasti mangsa, yang disifatkan sebagai tugas sukar berikutan keadaan mayat.

Helikopter itu terhempas berhampiran Vista Chinesa, replika pagoda China yang terkenal dengan lokasi tinjauan pada altitud tinggi, menawarkan pemandangan Rio dari tengah-tengah kawasan hutan.

Pada Jun lalu, dua helikopter bertembung di ruang udara Rio dan mengakibatkan enam individu maut, termasuk penyanyi Amerika Syarikat (AS), Oliver Tree, dan YouTuber Argentina, Gaspar Prim.

Penerbangan helikopter menjadi tarikan popular dalam kalangan pelancong yang mahu menikmati pemandangan mercu tanda terkenal Rio de Janeiro serta keindahan semula jadi bandar metropolitan pesisir berkenaan.

Datuk Bandar Rio de Janeiro, Eduardo Cavaliere, dalam hantaran di X, berkata beliau sudah meminta Agensi Penerbangan Awam Kebangsaan Brazil supaya segera meningkatkan pemantauan bagi memastikan keselamatan penerbangan helikopter. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here