TORONTO: Pilihan ketujuh, Iga Swiatek bangkit daripada set pertama yang cukup mengecewakan untuk menewaskan pilihan ke-10, Marta Kostyuk 3-6, 6-1, 6-2, sekali gus mara ke suku akhir Terbuka National Bank di Toronto, hari ini.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Iga akan berdepan pilihan ke-15, Diana Shnaider, Selasa ini selepas pemain itu mencipta kejutan dengan menyingkirkan pilihan ketiga, Jessica Pegula 6-3, 6-2.
Iga yang tewas kepada Marta pada Terbuka Perancis di Roland Garros, Mei lalu, mempamerkan permainan servis yang amat buruk pada set pertama, namun dia bangkit semula selepas itu.
“Pada set kedua, saya beraksi sedikit lebih pantas serta lebih agresif, selain memberi lebih tekanan kepada Marta.
“Saya tahu saya mampu kekal konsisten sambil bermain dengan cara itu. Jadi, dari satu permainan ke satu permainan, saya rasa ia adalah perancangan yang baik serta pilihan yang tepat dan saya terus melakukannya,” kata Iga.
Kemenangan itu menamatkan rentetan tujuh kemenangan Marta dalam perlawanan yang berlangsung sehingga tiga set.
Ketika diminta membandingkan aksi itu dengan kekalahannya kepada Marta di Paris, Iga berkata: “Saya berada di tempat yang berbeza sekarang. Saya rasa saya mampu bermain dengan permainan saya sendiri.
“Saya tidak dapat melakukannya ketika di Terbuka Perancis. Jadi, saya tahu apa yang perlu dilakukan dan bagaimana untuk bermain.
“Saya cukup yakin dengan pelan permainan dan kelebihan yang saya miliki. Saya gembira dengan cara saya melakukannya.”
Sementara itu, Diana menewaskan Jessica buat kali pertama dalam lima pertemuan selain membalas dendam kekalahan kepada pemain Amerika Syarikat (AS) itu di Washington, minggu lalu. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






