SHAH ALAM: Memetik laporan menerusi Berita Harian keahlian bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dijangka di sebuah cawangan parti dalam Bahagian Sungai Buloh, Selangor.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berkata parti sememangnya mengalu-alukan penyertaan Khairy di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’.
“Kita menerima dengan hati terbuka penyertaan semula beliau yang ingin kembali aktif dalam UMNO.
“Sudah pasti ada peranan yang boleh kita berikan kepada beliau untuk membantu mengembalikan kekuatan UMNO Selangor,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan Khairy mengemukakan surat rayuan kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menyertai semula parti berkenaan.
Ahmad Zahid berkata, surat berkenaan diserahkan kepadanya dalam satu pertemuan malam kelmarin.
Pada Januari 2023, UMNO memecat Khairy, selain menggantung keahlian bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.
Turut digantung keahlian ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
KJ tak minta-minta, demand apa-apa
Dalam pada itu, mengulas adakah Khairy bakal diberikan kerusi untuk menarik anak muda dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Megat Zulkarnain memaklumkan Khairy tidak berhasrat untuk ke arah itu.
“Dalam pertemuan bersama Ahmad Zahid, saya mendengar dengan jelas beliau menyatakan untuk tidak meminta-minta, apatah lagi untuk meletakkan apa juga permintaan dengan kembalinya dalam UMNO.
“Ini juga terpakai untuk tidak memohon agar diberikan sebarang kerusi untuk beliau bertanding dalam PRU akan datang. Tumpuan lebih diberikan kepada bagaimana beliau dapat membantu dengan pengalaman yang luas sebagai bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia,” katanya.
Megat Zulkarnain berkata, beliau yakin Khairy berperanan dalam membantu menguatkan kembali UMNO dan menambah keyakinan rakyat.
“Tidak timbul soal ada demand yang beliau nyatakan. Itu semua adalah bukan perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan dan beliau serah 100 peratus kepada kebijaksanaan Presiden.
“Seingat saya, hanya satu sahaja beliau mohon iaitu kalau dapat dipertimbangkan nombor keahlian lama diberikan kembali.
“Bertanding atau tidak, itu bukan menjadi ukuran tetapi lebih penting ialah bagaimana beliau boleh kembali membantu UMNO untuk berhadapan dengan pilihan raya,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






