Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi tumpuan penuh terhadap persiapan bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2025 yang dijadual berlangsung di Thailand pada Disember ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS, Abdullah Hassan, berkata pelaksanaan Program Road To Gold (RTG) akan diteruskan sebagai usaha membantu atlet berpotensi tinggi mencapai kejayaan di pentas antarabangsa.

Menurut beliau, sasaran pingat rasmi bagi temasya kali ini belum ditetapkan kerana rundingan berhubung acara sukan yang akan dipertandingkan masih dijalankan pihak penganjur di Thailand.
“Kita akan umumkan sasaran rasmi selepas mesyuarat akhir diadakan serta sebaik senarai acara dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Kelantan 2025 yang diadakan di Dataran Muhammadi, Masjid Muhammadi, di sini, hari ini.
Abdullah berkata, setakat ini beberapa sukan seperti badminton dan hoki dikenal pasti berpotensi menyumbang pingat, manakala beberapa lagi sukan masih dalam pertimbangan penganjur untuk disenaraikan.

Tambahnya, sekiranya Muay Thai disenaraikan sebagai antara acara Sukan SEA 2025, penyediaan atlet akan diserahkan kepada persatuan induk masing-masing, manakala Majlis Sukan Negara (MSN) dan KBS hanya akan menguruskan penghantaran atlet yang terpilih selepas proses pemilihan akhir selesai.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan program Hari Sukan Negara dianjurkan setiap tahun bagi menggalakkan rakyat menjalani gaya hidup sihat dan kekal aktif.
“Sekiranya kita kekal aktif, banyak manfaat boleh diperoleh, termasuk mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
“Pada masa sama, aktiviti sukan juga mampu merapatkan hubungan antara keluarga dan komuniti,” katanya.
Hadir sama, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, Jasri Kasim, Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Mohd Saipuddin Zakaria serta Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim.
IMedikel TV






