Home Hiburan KANSER LAN ZAINAL DAH MEREBAK KE PARU-PARU DAN HATI

KANSER LAN ZAINAL DAH MEREBAK KE PARU-PARU DAN HATI

KUALA LUMPUR: Doktor memaklumkan jangka hayat pelakon, Lan Zailan, 66, yang menghidap kanser pankreas tahap empat hanya tiga bulan saja selepas kanser itu merebak ke hati dan paru-paru.

Isterinya, Ruby Sara Omar, 51, berkata, dia dimaklumkan oleh doktor malam tadi selepas mendapat keputusan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) yang dibuat sebelum ini.

“Mohon sahabat terus bagi semangat pada abang Lan. Jika ada salah silap mohon maafkan beliau,” katanya.

Menurutnya, ketika ini suaminya masih di rawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, dan berada dalam keadaan stabil dalam pemantauan doktor.

“Doktor akan berbincang dengan ahli keluarga untuk rawatan selanjutnya. Abang Lan terima dengan tenang dan reda atas kehendak-Nya. Saya yakin abang Lan kuat untuk berdepan ujian ini,” katanya.

Terdahulu, Lan atau nama sebenarnya, Zailan Kamaruddin Mohd dimasukkan ke PPUM sejak seminggu lalu akibat masalah batuk berpanjangan.

Ruby Sara berkata, pada mulanya mereka hanya mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan, namun keadaannya tidak berubah dan terpaksa dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Badannya susut dan selera makan tiada. Waktu kami ikut karnival jualan di Miri, Sarawak ramai tegur pasal itu. Selepas balik dari sana barulah kami ke Klinik Kesihatan namun masalah tak juga selesai.

“Selepas beberapa kali ulang alik, doktor sarankan, sekiranya nak cepat pergi swasta kalau nak buat ujian CT Scan sebab klinik kerajaan memang tak buat,” katanya.

Sepanjang rawatan Lan tidak putus-putus menerima kunjungan rakan-rakan artis antaranya Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), Anne Abdullah dan Presiden Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) Sandakiah Aziz yang hadir memberikan kata-kata semangat.

Mereka turut memberikan sumbangan bagi meringankan kos rawatan yang ditanggung. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here