LONDON: Bekas penyerang Liverpool dan England, Michael Owen menyifatkan keputusan Harry Kane meninggalkan Tottenham Hotspur untuk menyertai Bayern Munich pada tahun 2023 sebagai “gila”.
Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian bagi Owen, tindakan itu menjejaskan peluang Kane untuk memecahkan rekod penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris.
Kane, 32, meninggalkan Spurs selepas 19 tahun bersama kelab itu untuk mengejar trofi pertama dalam kariernya.
Ketika itu, dia sudah menjaringkan 213 gol Liga Perdana, hanya ketinggalan 48 gol di belakang rekod Alan Shearer.
Owen, yang tampil dalam podcast Rio Ferdinand Presents, mengakui masih kecewa dengan keputusan kapten England itu walaupun Kane kini mencapai kejayaan di Jerman.
“Harry Kane seorang penjaring yang sangat berbisa. Saya tidak setuju dengan keputusannya pergi ke Jerman, saya katakan perkara itu secara terbuka.
“Saya masih fikir dia gila. Dia di ambang menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Perdana,” kata Owen.
Sejak berpindah ke Bayern, Kane meledak 91 gol dalam 100 penampilan dan membantu kelab itu kembali menjulang kejuaraan Bundesliga selepas musim pertama tanpa trofi.
Namun Owen berpendapat kejayaan di Jerman tidak setanding dengan menjadi legenda di England.
“Kalau terlalu terdesak mahu menang trofi, tunggu satu musim lagi dan kemudian pergi. Ia seperti anda menyertai Celtic dan memenangi liga.
“Pencapaian sebenar ialah menjadi penjaring terbanyak dalam sejarah Liga Perdana, itu luar biasa,” katanya.
Owen menjaringkan 150 gol Liga Perdana sepanjang kariernya dan berada di tangga ke-11 keseluruhan. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






