Home Hiburan ADA KEKUATAN TERSENDIRI

ADA KEKUATAN TERSENDIRI

Tidak dapat dinafikan, pelakon popular, Mimi Lana, 29, dan suaminya, Syafiq Kyle, 32, antara ‘power couple’ atau pasangan selebriti berpengaruh dalam industri hiburan tanah air ketika ini.

Memetik laporan menerusi Harian Metro mereka bukan saja memiliki jumlah pengikut yang tinggi di media sosial, malah menjadi rebutan syarikat produksi mahupun pelbagai jenama produk tempatan serta antarabangsa.

Namun, kata Mimi, dia tidak pernah meletakkan syarat agar syarikat produksi mahupun jenama produk mengambil ‘pakej’ bersama Syafiq.

Katanya, dia dan Syafiq, masing-masing mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri

Malah, sejak sebelum berkahwin pun mereka pernah digabungkan dalam sesuatu projek atas kesesuaian produk diwakili.

“Tidak semestinya bila sudah berkahwin, pihak yang nak dapatkan khidmat perlu ambil kami berdua sebagai pakej. Saya dan Syafiq tak pernah gariskan (letakkan) syarat apa pun

“Masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri. Saya dan Syafiq juga mungkin sesuai untuk mewakili produk atau jenama secara solo dan tiada masalah pun untuk muncul seorang.

“Syarikat yang membuat tawaran juga lebih tahu kerana banyak jenama yang kami wakili secara solo sebelum ini. Kalau dapat tawaran untuk muncul berdua seperti produk Nivea ini adalah bonus dan bukannya kerana kami letak syarat,” katanya ketika ditemui selepas mempromosikan produk Nivea Luminous Skin Glow Serum, di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Berkongsi perancangan untuk menubuhkan syarikat produksi bersama Syafiq, Mimi berkata, buat masa ini, dia menjadi penyokong utama suaminya untuk terus aktif dalam dunia penerbitan.

“Saya belum ada perancangan untuk terbabit dengan kerja belakang tabir atau bersama-sama Syafiq untuk usahakan rumah produksi.

“Sebagai isteri serta individu yang melihat kesungguhannya dengan kerja belakang tabir, saya teruja apabila Syafiq akan melangkah setapak lagi dalam kariernya dengan bergelar pengarah pula pada tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Syafiq yang sudah hampir 15 tahun terbabit dalam dunia seni berkata, dia sudahpun bergelar penerbit menerusi produksi Indigo Films yang ditubuhkan bersama rakan kongsinya, Arif Zulkarnain.

Katanya, antara drama yang pernah dihasilkan produksinya di mana dia melakonkan watak utama berjudul Doh yang disiarkan untuk platform Tonton pada 2023.

“Saya juga bakal duduk di kerusi pengarahan dengan menghasilkan sebuah supertele yang dijadualkan pada awal tahun hadapan,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here